Offshore Medic – Perawat di luar pantai
Oleh Yaseer Fikri
Medik merupakan satu jawatan yang sangat penting di lapangan
Minyak dan Gas di seluruh dunia. Mereka adalah individu yang bertanggungjawab
di dalam merawat, mengubati dan memainkan peranan utama sebagai Emergency Responder apabila berlakunya
kecemasan perubatan. Medik adalah individu yang terdiri daripada petugas
kesihatan daripada kalangan Penolong Pegawai Perubatan (M.A), Jururawat
Terlatih (kebiasaannya lelaki) bahkan juga Doktor. Di dalam entri yang lepas, kita
telah mengupas mengenai prosedur rawatan pekerja-pekerja pelantar minyak dan
rig penggerudian, kali ini, mari kita telusuri tugas-tugas utama seorang Medik
di lautan biru :
#1. Medik
atau Site Medic
Medik seringkali dipanggil Site Medic atau kadangkala jika berada di rig penggerudian ada yang
menggelarkan mereka sebagai Rig Medic.
Namun, mereka adalah individu yang sama dan menggalas tanggungjawab yang sama.
Di luar negara, sesetengah fasiliti Minyak dan Gas menggunakan khidmat Doktor
sebagai Medik di pelantar ataupun rig. Namun, di Malaysia, Medik kebanyakkannya
daripada kalangan Penolong Pegawai Perubatan dan juga Jururawat Lelaki.
#2.
Penasihat kesihatan dan perubatan
Tugas utama Medik di laut adalah selaku penasihat di dalam
perkara-perkara berkaitan kesihatan dan perubatan. Mereka adalah satu-satunya
individu yang dilayakkan untuk mendispensikan ubat-ubatan, melakukan prosedur
perubatan bahkan memberikan latihan kepada krew yang dilantik sebagai First Aider. Nasihat kesihatan dan
perubatan kerapkali dikongsikan kepada krew sewaktu mesyuarat keselamatan yang
diadakan seminggu sekali ataupun di Tool
Box Meeting setiap pagi sebelum memulakan tugas. Di sinilah, segala nasihat
tentang penajagaan kesihatan terutama sekali yang berkaitan dengan kesihatan akan
disampaikan sebagai maklumat khusus kepada krew-krew bagi mengelakkan sebarang
masalah kesihatan berkaitan pekerjaan daripada berlaku. Nasihat juga akan
diberikan kepada Offshore Installation Manager(OIM),
jika berlakunya kecemasan perubatan yang memerlukan pengaktifan MEDEVAC dibuat.
#3. Memberikan Rawatan Kesihatan
Medik adalah individu yang akan memberikan rawatan kepada
krew yang cedera atau sakit. Di samping itu juga, Medik dipertanggungjawabkan
untuk mengendalikan sebarang kecemasan perubatan di pelantar mahupun rig dan, ia termasuklah menguruskan proses Medical Evacuation untuk pesakit yang
memerlukan rawatan lanjut di darat. Bagi memastikan keadaan kesihatan krew
berada pada tahap yang baik, Medik akan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala
kepada krew terutama sekali bagi krew yang telah disahkan memiliki masalah kesihatan
tertentu seperti Darah Tinggi dan juga Kencing Manis. Medik juga akan melakukan
pengiraan Body Mass Index (BMI) kepada
krew dengan kerap bagi memastikan keadaan fizikal krew tidak menyumbang kepada masalah
kesihatan ketika mereka berada di fasiliti tersebut.
#4. Menjaga
klinik atau hospital
Fasiliti perubatan di pelantar sudah semestinya di bawah
selenggaraan dan penjagaan Medik yang bertugas. Segala peralatan perubatan,
ubat-ubatan dan dokumen-dokumen penting senantiasa dipastikan berada di dalam
keadaan yang rapi dan, Medik adalah individu yang akan memastikan kesemua
keperluan di klinik atau hospital bersedia untuk digunakan. Inden ubat-ubatan
akan dibuat secara berkala sepertimana yang dilakukan oleh kakitangan kesihatan
yang bertugas di klinik atau hospital kerajaan. Medik juga harus memastikan
segala dokumen berkaitan pesakit disimpan dengan terkawal bagi menjaga
kerahsiaannya.
#5.
Kesihatan Pekerjaan
Health Risk Assessment (HRA) adalah salah satu
metod khusus bagi mengenalpasti kehadiran hazard
atau bahaya kepada kesihatan di tempat kerja. Medik akan memainkan peranan di
dalam membantu mengesan dan mengenalpasti bahaya dan juga risiko kesihatan yang
boleh memberi kesan kepada pekerja-pekerja di fasiliti tersebut. Medik juga
dikehendaki untuk membuat laporan berkaitan sebarang bahaya baharu yang boleh
membahayakan kesihatan pekerja-pekerja. Di samping itu, Medik bertanggungjawab
bagi menjalankan latihan berkaitan Kesihatan Pekerjaan di tempat kerja kepada
krew secara berkala dan memberikan Promosi Kesihatan di pelantar ataupun di rig
secara konsisten.
#6.
Keselamatan dan Kesihatan Penyediaan Makanan.
Antara peranan utama Medik di pelantar dan rig adalah menjadi
penasihat kepada krew katering di dalam perkara-perkara berkaitan dengan
keselamatan dan kesihatan penyediaan makanan. Setiap minggu, lawatan dan
pemeriksaan akan dilakukan bersama-sama Camp
boss (penyelia krew katering) dan beberapa krew katering di seluruh kuaters
dan juga dapur bagi melihat kadar
kebersihan dan keselamatan secara holistik, bagi memastikan tidak wujud
sebarang risiko yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan semua krew
seperti kehadiran serangga perosak dan juga tikus.Medik juga akan mengeluarkan
laporan yang kemudiannya akan menjadi penanda aras untuk pihak katering
mengekalkan keselamatan dan kesihatan penyediaan makanan dan menjamin kebersihan
kuaters berada pada tahap yang maksima.
#7.
Pengambilan Sampel air terawat.
Air bersih merupakan sumber yang penting di mana sahaja. Air
yang digunakan di pelantar telah diproses menggunakan Water Maker dengan proses Reverse
Osmosis. Tahap kebersihan dan keselamatan air ini akan dipastikan dengan
mengambil sampel air dan menghantarnya ke darat untuk di uji kaji dan
diperiksa. Tugas ini akan dilakukan oleh Medik dan selalunya, pemeriksaan ini
akan dilakukan sebulan sekali bagi mengesan kehadiran mikroorganisma dan juga
bahan kimia yang membahayakan kesihatan.
#8.
Taklimat Keselamatan (Safety Induction)
Setiap krew yang baharu tiba di pelantar dikehendaki untuk
mengikuti taklimat keselamatan atau Safety
Induction. Taklimat keselamatan ini merangkumi pelan tindakan ketika
kecemasan, kedudukan bot keselamatan, kedudukan tempat berkumpul dan facilities layout secara keseluruhan. Medik adalah individu yang bertanggungjawab
di dalam memastikan semua maklumat penting ini sampai kepada krew yang baharu
tiba. Di samping itu, segala kertas kerja berkaitan kesihatan krew dan maklumat
keselamatan adalah dibawah tanggungjawab Medik yang bertugas. Sewaktu taklimat
keselamatan, Medik akan membawa krew yang pertama kali ke fasiliti tersebut
mengikuti walkabout bagi menunjukkan
kedudukan alatan keselamatan dan laluan keluar kecemasan, lalu memastikan ia
difahami dengan jelas oleh krew terbabit.
#9. Dua
tugas dalam satu masa.
Di sesetengah fasiliti, terdapat Medik yang terpaksa
melakukan tugas-tugas yang tidak melibatkan perkara berkaitan perubatan dan kesihatan.
Kadangkala, Medik turut memainkan peranan sebagai Radio Operator.Keadaan ini berlaku disebabkan oleh ketiadaan Radio
Operator bertauliah di sesebuah fasiliti. Dalam pada itu, ada juga Medik yang
terpaksa menjalankan tugas-tugas Pegawai Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran
(HSO) atau Safety Officer. Tugas ini
melibatkan penyediaan laporan, penyelenggaraan alatan keselamatan dan
sebagainya. Tugasan seperti ini begitu mencabar kerana memerlukan Medik yang
sentiasa bersikap positif dan bertanggungjawab kerana di dalam menjalankan
tugas berkaitan perubatan, mereka turut melibatkan diri secara langsung dan
tidak langsung di dalam memastikan tugasan diselesaikan dengan sempurna.
#10.Tugas-tugas
umum.
Bergantung kepada kehendak sesuatu fasiliti, ada Medik yang
terpaksa melakukan tugas-tugas umum seperti mengurus dan menempatkan kabin
kepada krew yang baharu tiba, memastikan senarai nama Personnel On-board (POB) sentiasa dikemaskini bagi tujuan kecemasan,
menyediakan T-Card (kad yang
menunjukkan kita berada di fasiliti) kepada krew dan banyak lagi. Disebabkan perkara
inilah, seorang Medik haruslah menyediakan fizikal dan mentalnya bagi melakukan
banyak perkara yang di luar norma kemahirannya pada masa-masa tertentu.
Sebenarnya, terdapat banyak lagi tugas-tugas yang tidak dapat
saya rangkumkan di sini. Namun, biarpun apa tugas mereka, peranan dan fungsi
seorang Medik sangatlah berguna pada satu-satu operasi di luar pesisir pantai. Barangkali
kawan-kawan Medik yang lain boleh kongsikan tugsa-tugas tambahan yang mereka
lakukan di tempat kerja mereka, Inshaallah. Semoga semuanya bekerja di dalam
keadaan SELAMAT dan SIHAT selalu.





Comments
Post a Comment