Puisiku
Jentolak Kerdil
Adanya seperti Si Gergasi gagah yang benar membelah tanah,
Kekerdilan itu membuat jiwa Si Anak berkocak tinggi,
Digenggam, dikaji dalam,
Ralit membelek keasyikkan dalam indraloka sendiri,
Nanti,
Akan jadi apa Si Anak ?
Akan gagahkah genggam hayatnya membelah lagak alam sekejap ini ?
Gagahkah membawa ruh nahi mungkar utusan Si Punya duniawi ?
Bapa akan makin tua,
Gagahkah dia jaga ibu nanti ?
Gagahkah menarik ibu dan suri ke syurgawi ?
Belum detik jalan sampai penamat, sudah terbaca tingkah Si Anak,
Jadilah dia pejuang Rabbi Azali,
Jadilah dia kekasih Nabi,
Gagahlah mengatur budi,
Bimbang jentolak kerdil akan kerdil menongkat jati diri...
PUTERI PERTAMA
Kejauhan mengheret rasa ke satu denyut yang baharu,
Jauh denyut itu bersatu bersama rentak pembawa syurganya,
Tenang terbungkam kejap sembilan bulan, dia menderai tangus pertama.
Menyoroti hening dingin tanggal 8 Januari bulan pertama.
Lengkap dan sihat,
Menambah warna terang dalam titis hari bunda yang menyarung keringat,
Jua bapa yang kejauhan menunggu,
Sang Puteri pertama menguak derap dunia,
Bapa tahu deras arusnya,
Berakit sahaja meski pedih,
Nafsi gelora leburkan sahaja dengan tawadduk yang kekal,
Biar Nur menanti terang di pangkal usia,
Solehahlah engkau anak di sisi kesucian IMAN.
Comments
Post a Comment