Siapa Yaseer Fikri ?







Nama Diberi : Mohd Fikri Bin Napri


Nama Pena : Yaseer Fikri


Asal : Muara Tebas,  Kuching, Sarawak


Status : Berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata.



Latarbelakang Pendidikan : 


Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Muara Tebas, sudah tentu dari Darjah 1 hingga ke Darjah 6 dan memperoleh genggaman sijil pertama melalui UPSR kala itu.


Setelah gagal menyertai rakan-rakan cemerlang ke Sekolah Agama seperti yang saya idamkan, saya menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako dan beroleh sijil kedua melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004.


Dan, mulalah saya bertatih membina tapak, mencari erti hidup sebenar-benarnya selepas itu. 3 tahun tanpa hala. Menyambung belajar tidak, bekerja ? Ya (lebih senang saya begitu). 


Lalu, saya bekerja sebagai buruh binaan demi wang belanja. Sehinggalah, saya menerima tawaran memasuki Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching untuk Diploma Pembantu Perubatan juga selama 3 tahun.
Pucuk dicita ulam mendatang, saya raih sebaiknya dan berjaya menamatkan latihan selepas 3 tahun iaitu pada tahun 2010. 

Latarbelakang Pekerjaan :


Buruh Binaan 2004-2006 ( Harus saya rangkumkan agar saya ingat tentang asal diri)


Penolong Pegawai Perubatan - Jabatan Kecemasa dan Trauma, Hospital Umum Sarawak - 2010-2011


Penolong Pegawai Perubatan - Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kapit - 2011 - 2014


Site Medic/ Offshore Medic - InternationalSOS (M) SDN BHD - 2014 - Kini




Sedikit Sebanyak :


Saya hanyalah lelaki biasa, manusia biasa, seorang bapa yang biasa dan juga suami yang biasa. Saya meminati dunia penulisan sejak kenal abjad dan huruf lagi. Saya masih ingat lagi, beberapa keping kertas daripada buku latihan sekolah saya ambil, kemudian saya mengarang cerita-cerita yang terlintas di fikiran. Ayat-ayat gramatis di akhbar atau buku yang saya baca, saya cedok seratus peratus lalu saya guna pakai untuk menulis ketika itu.
Saya kira saya punya bakat, begitu juga kata cikgu di sekolah dahulu. Namun, sebenarnya ini soal minat dan suka. Bagi seorang yang pendiam seperti saya, MENGARANG merupakan medium untuk saya luahkan rasa suka dan tidak, rasa marah dan geram, segalanya saya nukilkan di tulisan saya.
Jika ditanya, siapa penulis kegemaran saya, mudah, sasterawan yang gaya bahasanya mengasyikkan, dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, itulah yang saya minat.
A.Samad Said dan Otmah Puteh (Allahyarham) antara yang paling mempengaruhi jiwa penulisan saya sebenarnya. Begitu juga falsafah HAMKA yang menarik rasa cinta saya kepada dunia karangan kreatif ini.
Kebanyakkan masa akan saya habiskan bersama anak-anak sebenarnya. Di kelapangan, membaca adalah pilihan pertama. 
Selain menulis, saya juga gemar melukis. Tidaklah sehandal Husman Razak di Kota Kinabalu yang mahir menggunakan kanvas dan cat minyak. Tidak juga sehebat Pak Daeng Ramlikail yang berfalsafah dengan lukisannya, atau juga seperti Lat dengan kartunnya. Saya sekadar melukis sambil mencari tenang. 





Comments

Popular Posts