Siapakah Escort Medic ( Medik Pengiring)?


Oleh Yaseer Fikri

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semua

Pengiring atau mengiring sinonimnya dikaitkan dengan orang-orang bangsawan atau golongan berprofil tinggi. Mereka diiringi oleh sekumpulan anggota yang dilatih khusus untuk memastikan keselamatan atau sekuriti mereka berada pada tahap maksima. Di dalam pada itu, anggota-anggota ini juga dilengkapi dengan senjata-senjata ringan sehingga senjata berat untuk digunakan pada saat darurat.

            Namun, tahukah anda tentang kewujudan pengiring yang terlatih di dalam bidang perubatan dan kesihatan? Dan, pengiring ini bukan dikhususkan untuk golongan tertentu sahaja. Di dalam Bahasa Inggeris mereka ini dipanggil Escort Medic atau dalam erti kata lain Medik Pengiring.
            Escort Medic atau Medik Pengiring ini lebih tertumpu kepada Industri Minyak dan Gas negara. Namun begitu, terdapat juga Medik Pengiring yang bertugas di dalam sektor kerajaan, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun, di sektor kerajaan tugas mengiringi pesakit ini akan diletakkan pada masa tertentu terutamanya ketika pesakit perlu diiringi dari satu hospital ke hospital yang lain bagi mendapatkan rawatan lanjut atau khidmat pakar. Kebiasaanya, Medik Pengiring di hospital/klinik kerajaan adalah di kalangan
kakitangan kesihatan sendiri termasuk Pegawai Perubatan (Doktor), Penolong Pegawai Perubatan (MA) atau Jururawat Terlatih. Mereka akan mengiringi pesakit ke hospital tertentu dan setelah selesai, mereka akan kembali ke tugas asal mereka, atau tugas hakiki di hospital/klinik di mana mereka bekerja.
            Walaubagaimanpun, kali ini kita akan menyentuh mengenai Escort Medic di dalam sektor swasta atau secara khususnya di dalam sektor Minyak dan Gas negara.

Rawatan Perubatan di Offshore


            Rawatan perubatan dan kesihatan di luar pesisir pantai (Offshore) tidaklah selengkap fasiliti di hospital-hospital yang berada di darat. Setiap kes kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital di darat yang berhampiran menggunakan khidmat helikopter (MEDEVAC) atau seringkali juga menggunakan perkhidmatan Bot Laju Penumpang (Fast Crew Boat). Medik atau pembantu perubatan yang bertugas di pelantar atau di rig tidak dibolehkan untuk meninggalkan lokasi walau dalam keadaan apa sekalipun. Mengapa? Di dalam entri yang berikutnya kita akan sentuh mengenai kekangan dan tugas-tugas seorang Medik atau Pembantu Perubatan/Jururawat di lautan biru.
            Bagi memastikan proses penghantaran pesakit ke hospital di darat berjalan dengan lancar, tanpa memburukkan kondisi pesakit dan jika keadaan tidak diingini berlaku,pesakit boleh distabilkan sementara menunggu ketibaan di hospital tertentu, seorang pengiring akan diperlukan bagi menggalas tugas ini. Pengiring ini akan datang bersama helikopter ke pelantar atau rig bagi mengambil alih tugas pemantauaan pesakit daripada Medik di luar pesisir pantai. Escort Medic atau Medik Pengiring ini akan memastikan keadaan pesakit cukup stabil sebelum diterbangkan.

Mengaktifkan Medik Pengiring bertugas

Ketika saat berlakunya kemalangan ataupun kecemasan perubatan di luar pantai (Offshore), dan pesakit memerlukan rawatan lanjut di hospital, pesakit akan diterbangkan ke hospital menggunakan helikopter atau di dalam beberapa keadaan menggunakan bot.
            Ketika keputusan untuk mengaktifkan MEDEVAC telah dibuat oleh Offshore Installation Manager(OIM) atas nasihat Medik yang bertugas di pelantar, pihak aviasi akan melakukan persediaan konfigurasi pada pesawat sesuai dengan kedaan pesakit yang akan diambil nanti. Tempat duduk akan diubah suai oleh Jurutera Aviasi bagi memuatkan stretcher dan juga peralatan lain.
            Medik Pengiring atau Escort Medic juga akan segera diaktifkan. Mereka dikehendaki untuk berada di Heli base kurang daripada 30 minit. Di sana, Escort Medic akan menyediakan peralatan perubatan yang wajib dibawa dan memuatkan segala kelengkapan ke dalam helikopter. Antara kelengkapan yang perlu dibawa bersama adalah tangki oksigen, Automated Electrical Devices (AED), beg responder (yang mengandungi pelbagai alatan perubatan) dan beberapa lagi peralatan bergantung kepada kes yang diterima.
            Escort Medic akan menjalani taklimat keselamatan helikopter sebelum berangkat dan segala maklumat mengenai keadaan pesakit akan dibincangkan bersama juruterbang. Pada kebanyakan masa, Escort Medic akan terbang bersama dua juruterbang sahaja tanpa anak-anak kapal yang lain.






Escort Medic menyediakan peralatan untuk dibawa ke helikopter - credit to Medic Hanif Ahmad
Peralatan Perubatan dibawa ke helikopter.Persediaan untuk berlepas - credit to Medic Hanif Ahmad


Proses ambil alih (Hand over Case)

Setibanya Medik Pengiring ini di pelantar/rig, beliau akan ke klinik untuk bertemu dengan Medik yang berada di pelantar. Di sini, Medik Pengiring akan mengambil bacaan tanda vital pesakit terkini dan memastikan kesemua tanda vital ini berada di dalam keadaan yang cukup stabil sebelum diterbangkan.
            Satu panggilan akan dibuat kepada Doktor yang bertugas di Coordinating Centre (bergantung kepada syarikat pengendali) bagi memaklumkan keadaan terkini pesakit dan faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum dimobilisasikan ke hospital. Proses ini memerlukan kepekaan yang tinggi di samping pengetahuan luas tentang keadaan penyakit bagi memastikan keputusan dan input yang diberikan adalah tepat dan selamat.
            Jika keadaan pesakit mengizinkan untuk diterbangkan ke darat, Medik Pengiring dan Medik di lokasi akan dibantu oleh krew-krew yang telah dipertanggungjawabkan dan dilatih untuk menjadi First Aider. Mereka akan membantu Medik untuk memindahkan pesakit ke atas stretcher atau pengusung, merapikan sling dan mengangkat pesakit menuju ke heli deck.
            Di dalam helikopter, Escort Medic akan memastikan bacaan tanda vital seperti tekanan darah (BP), paras oksigen di dalam darah (SPO²), kadar denyutan nadi (Pulse/Heart Rate) senantiasa berada di dalam keadaan yang cukup baik. Di sini kemahiran Advanced Cardiac Life Support seorang Medik Pengiring akan benar-benar teruji kerana apabila berlaku komplikasi ke atas pesakit ketika proses penerbangan ini, Medik Pengiring terpaksa melakukan Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) bersendiriaan dan sewaktu helikopter masih di udara.
            Medik Pengiring akan mengalami kekangan dari segi keluasan kabin helikopter yang tidak mengizinkan, batasan pergerakan dan kelengkapan perubatan yang tidak mencukupi. Setiap Medik Pengiring yang bertindak kepada sesuatu kes kecemasan akan membawa bersama sebuah beg yang dipanggil Responder Bag di mana beg ini dilengkapi dengan peralatan bantuan awal pernafasan (Intubation set), jarum dan ubat-ubatan kecemasan,peralatan bantuan trauma dan banyak lagi namun bukanlah selengkap Troli Kecemasan di Jabatan Kecemasan. Di samping itu juga, bekalan silinder oksigen juga akan di bawa bersama dan jumlah silinder ditentukan oleh jarak penerbangan dan peralatan pernafasan yang digunakan oleh pesakit itu sendiri.
            Bagi kes-kes kecemasan yang melibatkan jantung, sebuah mesin Automated External Devices (AED) akan dibawa bersama. Namun, AED telah menjadi alatan wajib bawa ketika bertugas sewaktu kecemasan memandangkan risiko pesakit mengalami gangguan ritma jantung adalah sangat tinggi terutama sekali ketika di dalam penerbangan.
            Pemantauaan berkala ke atas pesakit akan dilakukan sewaktu penerbangan dan direkodkan ke dalam laporan. Medik Pengiring hanya bergantung kepada proses visualisasi dan tanda vital pesakit. Kesukaran untuk berkomunikasi dengan pesakit merupakan salah satu cabaran ketika di dalam penerbangan disebabkan bunyi rotor pesawat akan membataskan suara di dalam kabin.



Kes sebenar.Pesakit sudah dipindahkan ke dalam helikopter - credit to E11 Platform crews.

Tiba di Heli Base

            Bergantung kepada prosedur dan polisi syarikat pengendali perkhidmatan perubatan itu sendiri, carta laluan proses serah tanggungjawab memantau pesakit kepada hospital yang menerima akan berbeza. Sesetengah polisi hanya memperuntukkan Medik Pengiring mengiringi pesakit sehingga ke Heli Base sahaja dan menyerahkan kepada pasukan ambulan hospital yang akan berada di situ. Namun, Medik Pengiring juga akan mengiringi pesakit sehingga ke Jabatan Kecemasan tertakluk kepada arahan syarikat.
            Kes akan diserahkan kepada hospital yang merawat dan segala maklumat keadaan pesakit akan dibekalkan untuk maklumat rawatan pihak hospital.
            Usai tugas ini, kebanyakkan masa, Medik Pengiring dikehendaki untuk menulis laporan dan juga kronologi pergerakan mereka, dari saat pertama menerima panggilan sehinggalah kepada penyerahan pesakit kepada pihak hospital. Segala maklumat yang diberikan mestilah tepat dan tidak bercanggah dengan maklumat yang diperolehi oleh Coordinating Doctor di pusat menerima panggilan.



Kesimpulan

Medik Pengiring memerlukan kepekaan dan kemahiran perubatan yang tinggi sebelum melayakkan mereka terbang dan mengambil serta mengiringi pesakit. Nampak mudah pada mata kasar, namun tanggungjawab yang mereka galas tidak kurang hebatnya dengan petugas perubatan yang berada di lokasi atau di hospital. Tanggungjawab Escort Medic meliputi penjagaan dan penyelenggaraan peralatan perubatan di samping memastikan integriti kesemua peralatan terbabit serta menjadikanya bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.
            Tidak semua dapat kita rangkumkan di dalam entri kali ini, kerana terdapat banyak lagi tugasan sampingan yang turut dijalankan oleh Medik Pengiring bergantung kepada kehendak syarikat masing-masing. Namun, secara kasarnya, tugas mereka boleh menjamin proses pemindahan pesakit dari pelantar ke hospital berjalan lancar.


Comments

  1. Tu diaaaa.. Gaya.. Mutu.. Keunggulan... Terbaik!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sahabat. biar org kenal dan tau

      Delete

Post a Comment

Popular Posts