Cerpenku
CERPEN - AKU BAPAMU
Kecerahan
siang itu melambaikan ketenangan di setiap hati yang memahaminya. Ketenangan
itu sekejap datang dan sekejap lagi pergi tanpa bisa diraih semula. Sesekali,
ketenangan itu dirundum kekacauan fikiran yang tidak menentu. Cuaca kering yang
sudah sekian hari tidak memuntahkan hujan yang penuh Rahmat menjadikan haba
meningkat tinggi. Razali memerhatikan pergerakan burung-burung yang tumpang
berteduh. Kemudian, satu-persatu terbang mencecah awan yang menggumpal tinggi
di langit.
Razali hanyut di dalam
ketidakmampuannya untuk bersenda ria, untuk tertawa gembira, untuk berkasih
sayang semula dengan dua anak lelakinya yang pernah menjadikan harapannya
tinggi menggunung. Razali telah disahkan oleh pegawai perubatan di hospital menghidap
barah paru-paru yang serius. Bila fikirannya mengalir semula ke suatu ketika,
saat doktor lelaki berbangsa cina yang
tubuhnya sedikit gempal sewaktu minggu pertama dia dimasukkan ke hospital
menyatakan mengenai penyakitnya, dia merasa sebak semula. Sebak yang tidak
mampu untuk dia tangani dengan tenaga lelakinya yang kian pudar.
Jika bukan kerana keadaannya yang
memaksa itu, keadaan penyakitnya yang telah membataskan keringatnya untuk
mencari rezeki, sudah pasti dia masih menjemurkan segumpal tubuhnya di bawah
panas yang terik. Dia mulai merasa kecewa yang teramat bila tanggungjawab itu
tidak lagi dia galas dengan sempurna. Namun, dia benar-benar bernasib baik
kerana tugas yang tergalas di bahunya sekian lama telah diambil alih oleh anak
bongsunya, Luqman. Luqmanlah yang menjadi ketua kepada keluarga kecilnya kini.
Luqmanlah yang memerah keringat mencari rezeki dan duit belanja. Dan, Luqman
lah yang boleh dia harapkan.
Razali memandang ke arah Luqman yang
sedang bermain di hadapan rumah hasil ihsan penyelia di tapak binaan tempatnya
bekerja. Luqman dilihatnya menguis-nguis tanah kuning dengan sebatang kayu.
Razali duduk di muka pintu sambil
menghabiskan sisa-sisa kopi di dalam gelasnya. Sesekali, Razali memanggil anak
bongsunya yang berusia lima tahun itu bila dia melihat Luqman membaling kayu ke
dalam lopak air kerana risau terkena rumah tumpangan orang lain di sekitar
kawasan kediaman pekerja tapak binaan itu.
Fahmi, abang kepada Luqman tidak
kelihatan. Selalunya pulang sahaja dari sekolah, dia akan ke rumah kawannya
yang katanya tidak jauh dari sekolah. Namun, hatinya masih gusar. Biarpun jarak
usia Fahmi dan Luqman sekitar lapan tahun, namun, dua beradik ini masih boleh
bermain bersama. Tambahan, Luqman begitu manja kepada abangnya. Walaupun
sesekali Fahmi sedikit muak dengan kemanjaan adiknya. Fahmi baru di Tingkatan
Satu namun barangkali disebabkan hidup di dalam kesempitan sedari kecil
menjadikan dia lebih matang dalam berfikir. Itulah yang terlintas di fikiran
Razali. Namun, Fahmi terkadang membuatkan hatinya menangis kecil. Terutama, di
kala Fahmi memerlukan wang belanja yang banyak. Untuk keluar bersama
kawan-kawan katanya. Keinginan yang kadang-kadang menjadikan Fahmi memberontak
itu terpaksa Razali turutkan. Meskipun, dia terpaksa meminjam kepada Tauke Liaw
yang merupakan penyelianya.
Arus yang menghanyutkan ingatan
Razali kepada keadaan anaknya terhenti tiba-tiba ketika seorang jururawat
datang untuk memeriksanya. Wajah mulus jururawat Melayu itu memanggil
ingatannya kepada isterinya. Isteri yang dikasihi dengan hati yang tidak
berbelah bahagi. Tidak pula pernah di nodai kasih yang telah dia ikat sekian
lama dahulu.
Ketika ingin melamar Sakinah, ibu
kepada Fahmi dan Luqman, Razali terpaksa mengikat perut beberapa bulan.
Semuanya kerana mengikut kehendak keluarga Sakinah yang mahukan hantaran yang
berdulang dan maskahwin yang seperti tidak termampu untuk dia penuhi. Namun,
Razali akur akan ketentuan. Dia berusaha semahunya dengan tenaganya sebagai
buruh binaan dengan gaji yang tidak seberapa. Di samping, meminjam daripada
sanak saudara yang seperti mahu tak mahu menghulur bantuan. Setelah majlis yang
sangat sederhana itu diaturkan, Razali mengajak Sakinah untuk tinggal di rumah
sewa kecilnya di pinggir bandar. Mereka berbahagia di situ. Setelah kelahiran Fahmi,
ikatan cinta mereka bertambah erat namun renggang di tengah jalan apabila tuan
punya rumah meminta mereka sekeluarga berpindah kerana rumah yang mereka duduki
sudah dijual kepada pembeli. Razali dan Sakinah terpaksa akur walau telah
memujuk tuan punya rumah beberapa kali.
Sakinah tidak berani untuk menghadap
kedua ibu bapanya kerana hubungan dia dan Razali suatu ketika dahulu pernah
ditentang keluarganya. Dan, perkahwinan mereka juga mengundang kemarahan yang
teramat di hati kedua ibu bapanya. Razali cuba meminta kepada ibu bapa
kandungnya, namun, hanya kekecewaan yang mengisi hatinya bila mereka tiga
beranak dihalau mentah-mentah oleh ibu bapanya. Muka kecil Fahmi yang masih
merah itupun tidak ingin mereka lihat. Razali benar-benar kacau ketika itu. Apa
yang tambah memeritkan adalah Sakinah masih lagi dalam tempoh berpantang.
Mereka berteduh di rumah kongsi pekerja buruh hasil ihsan Tauke Liaw ketika itu
yang banyak membantu.
Hidup yang sederhana menjadi semakin
porak poranda. Setiap hari seperti ada saja pergaduhan yang tercetus di antara
Razali dan Sakinah. Namun, Razali berjaya menenangkan. Pernah Sakinah
menghumbankan maki hamun kepada Razali yang tidak mampu untuk menyediakan
tempat berteduh yang sempurna untuk mereka anak-beranak. Fahmi pula kian
membesar dalam tenaga Razali dikerah semahunya untuk mencari sesuap nasi.
Usai jururawat memeriksa tanda
vitalnya, jururawat itu menghulurkan beberapa biji pil untuk Razali makan.
Razali mengerah kekuatannya untuk mencapai gelas pada meja di sebelah katilnya.
Ketika gelas itu hampir terjatuh, jururawat itu mencapai dengan cepat.
“ Hati-hati,pakcik,” Jururawat itu
menghulurkan gelas kepada Razali. Setelah menelan beberapa biji pil, Razali
meneguk semula air putih di gelasnya. Jururawat meninggalkannya dengan senyuman
yang ikhlas.
“ Fahmi tu nak masuk sekolah
menegah, bang. Takkan abang tak faham-faham. Belanjanya bukan sikit. Buku lagi,
pekakasnya lagi,” Sakinah membentak pada suatu petang. Keruh di wajahnya
menyakitkan Razali. Namun, Razali cuba mengentalkan hatinya.
“ Makan minum kita ni abang peduli atau
tidak. Luqman itu pun sudah makin membesar. Sampai bila saya nak berjimat
membancuh susunya,bang. Pinjamlah dengan tauke abang untuk beli barangan di
dapur itu,” sambung Sakinah. Luqman di pangkuannya sudah terlelap. Botol susu
yang Luqman hisap bergoleng ke arah Razali yang duduk di muka pintu.
“ Bukan abang tidak mahu pinjam.
Hutang abang dengan Tauke Liaw dah cecah sembilan ratus ringgit. Itupun abang
belum langsaikan. Macam mana abang nak menghadap Tauke Liaw lagi dengan hutang
yang masih berbaki?” Razali menghela panjang nafasnya.
“ Itu urusan abang dengan tauke itu,
bukan urusan saya. Gaji abang ke mana? Abang pernah ke tidak bagi pada saya
selama ini? Setakat seratus ringgit sebulan itu apa yang saya nak buat,bang?”
“Gaji abang tidak sebanyak mana.
Bagaimana abang nak beri lebih. Susu anak pun abang asingkan daripada duit
itu,” Razali menundukkan kepalanya. Kesakitan itu semacam datang dan pergi. Dia
resah dan keresahan itu seperti tiada hujungnya.
Luqman melakarkan senyuman kepada
Razali ketika dia melalui beberapa katil pesakit lain. Satu plastik berisi buah
jambu,kegemaran bapanya diletakkan di atas meja di sebelah katil. Razali
memandang ke wajah Luqman yang ternyata sudah dewasa. Namun, nasib Luqman
sungguh tidak baik bila keinginannya untuk terus belajar terpaksa disekat
kerana Razali tidak mampu. Luqman sudah berusia dua puluh lima tahun. Dia sudah
mampu berfikir sematangnya. Namun, Razali begitu hampa kerana tidak mampu untuk
menjadikan impian Luqman untuk menyambung pelajarannya tercapai. Luqman
mengerti keperitan bapanya. Dia anak yang baik. Dialah nadi bapanya ketika ini.
Jasanya hanya kepada bapanya.
Luqman mengupas jambu yang dibelinya
tadi. Satu persatu disuapkan ke dalam mulut bapanya. Kunyahan perlahan Razali
dia iringi dengan senyuman. Begitu juga Luqman.
Razali melihat Sakinah keluar dari
bilik tidur dengan tergesa-gesa.Berkali-kali Sakinah memasuki bilik tidur dan
keluar semula dengan membawa helaian baju. Razali menghampiri pintu bilik.
Sakinah dilihatnya memasukkan beberapa helai baju ke dalam beg. Razali mulai
kacau. Sekali lagi ingatannya tentang Sakinah,isterinya menyusup masuk.
“ Awak nak ke mana dengan baju-baju
semua itu?” Razali menghampiri Sakinah.
“ Sekarang ni abang tidak payah nak
tanya hala tuju saya. Saya dah jumpa apa yang saya idamkan selama ini. Semakin
lama saya d rumah buruk ini, saya makin kusut. Abang jagalah anak-anak. Kalau
saya ada masa, saya balik jumpa mereka,” Sakinah kemudian meluru ke luar rumah dengan menjinjing beg di
tangannya. Luqman berlari-lari memanggil ibunya dengan tangisan yang galak.
Namun, Sakinah hanya memekakkan telinganya. Dia menghampiri sebuah kereta dan
seorang lelaki Pakistan sedang duduk di tempat pemandu. Usai Sakinah duduk di
sebelah, kereta itu dipecut laju. Razali tidak mampu menahan kelopak matanya
memuntahkan air mata. Tangisan Luqman yang dikendongnya mendadak tinggi bila
melihat ibunya tidak mengendahkannya. Betapa maruah Razali gugur semahunya
petang itu. Dia hilang isteri yang dia cinta dan sayang, begitu saja. Dia
ditinggalkan dengan dua anaknya yang semakin membesar. Razali tiba-tiba teringat
kembali kata-kata rakan sekerjanya yang mengatakan Sakinah curang kepadanya.
Kelibat Sakinah yang selalu keluar sembunyi-sembunyi dengan lelaki Pakistan
disampaikan kepadanya. Namun, Razali tidak sedikitpun percaya sehinggalah
Sakinah berlalu pergi di hadapannya.
Air mata Razali mengalir perlahan.
Luqman mengerutkan dahi melihat tangisan kecil bapanya. Dia lekas-lekas
mengelap aliran air mata panas bapanya.
“ Bapak kenapa ? Apa yang bapak
sedihkan?” Luqman mulai dirundum syahdu melihat airmata bapanya yang tidak
berhenti.
“ Tiada apa-apa,nak,” Razali
menyahut lemah. Kemudian dia tersenyum. Beberapa kali kepala Luqman diusapnya.
Dia lega anaknya itu setia benar kepadanya.
“ Abangmu bagaimana,nak?” Razali
memandang ke arah Luqman yang sibuk mengemas barang-barang yang berselerakan di
atas meja. Kumpulan keluarga pesakit lain yang datang melawat keluarga mereka
ketika itu sesekali tertangkap di mata Luqman. Melihat kebahagiaan mereka
mendatangkan rasa cemburu di dadanya.
“ Luqman !” Razali memanggil Luqman
yang leka.
“ Ya, bapak?”
“ Abangmu bagaimana?” soal Razali
semula.
“ Abang baik saja,pak.Dia sihat di
dalam sana.”
Razali menghembus panjang nafasnya.
Memikirkan perihal Fahmi yang tidak berubah-ubah. Fahmi telah dijatuhkan
hukuman penjara selama lima tahun atas tuduhan merompak. Sejak keuzuran Razali
melanda, dia benar-benar jarang ke penjara untuk melawat Fahmi dan melihat
nasibnya. Fahmi suatu ketika dahulu telah meremukkan hatinya dengan menyertai kawan-kawan
sekepalanya dan langsung melakukan jenayah yang sekaligus menghancurkan
kehidupannya sekarang.
Luqman akan ke penjara di setiap
hujung bulan untuk melihat-lihat keadaan abangnya. Fahmi dilihat berubah
perihalnya. Dia menjadi lebih lemah-lembut dalam tutur kata setiap kali ketika
Luqman ke sana. Dia juga kelihatan lebih peduli tentang bapanya berbanding
dahulu. Selepas tangkapan ke atas Fahmi, Razali hilang semangat dan menjadikan
penyakit yang dia simpan selama ini menjadi parah.
“ Bapak teringin sekali hendak
melihat Fahmi semula. Bapak rindukan anak sulung bapak satu-satunya itu,”
Razali menhumban rasa serba-salah ke dalam jiwa Luqman tiba-tiba. Luqman hanya
terdiam. Dia sedar keadaan ketika ini untuk Fahmi dibawa berjumpanya adalah
tidak sesuai sama sekali. Terdetik rasa bersalah di hatinya. Dia yang telah
menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk menangkap Fahmi dahulu. Fahmi
menyembunyikan diri di rumah teres yang Luqman sewa sebaik sahaja dia mendapat
kerja dahulu. Kerana bimbang dikatakan bersubahat, Luqman ke balai polis dan
membuat laporan mengenai Fahmi yang bersembunyi di rumah. Perkara in juga di
luar pengetahuan bapanya yang ketika itu langsung tidak mengetahui kejahatan
yang Fahmi telah lakukan.
“ Tolong bawa abangmu ke sini. Biar
bapak lihat wajahnya sebelum bapak pergi,nak,” kali ini airmata tua Razali
tumpah ke pipi.
Meskipun Fahmi telah banyak
meyakitkan hatinya dan membuat dirinya menangis, jauh di dasar hatinya masih
tetap merindui anak sulungnya itu. Masih segar di ingatan Razali bagaimana dia
dimalukan oleh anaknya sendiri di hadapan kawan-kawan sekolahnya. Razali yang
ketika itu diminta untuk hadir ke sekolah sempena Hari Bapa yang dilangsungkan
oleh pihak sekolah agar rasa kasih kepada seorang bapa dapat diterapkan dengan
mendalam di hati murid-murid sekolah.
Razali benar-benar bersemangat
ketika Fahmi menyatakan jemputan pihak sekolah kepadanya dan dia lekas-lekas
meminta cuti meskipun dia bisa mengagak bahawa Fahmi seperti mahu tidak mahu
untuk membawa dia bersama. Fahmi khuatir kawan-kawan sekolahnya mengetahui
rahsia bapanya yang hanya bekerja sebagai buruh dan bukan seorang guru seperti
yang dia canangkan selalu. Fahmi membentak bapanya untuk mencari pakaian yang
segak dan kemas serta berjenama untuk ke sekolahnya. Bentakan Fahmi itu
diturutinya dengan hati yang luluh. Dia berusaha meminjam baju kemeja dan tali
leher daripada Tauke Liaw yang pada mulanya agak keberatan untuk meminjamkan
kepadanya. Dan, dengan baju kemeja biru dan tali leher merah itulah Razali ke
sekolah Fahmi. Dia terpaksa mengambil teksi kerana risau Fahmi malu bila
melihatnya menggunakan kapcai buruk miliknya.
Ketika bersama bapa-bapa lain,
Razali sedaya-upaya menyembunyikan realiti sebenar diri dan keluarganya agar
tidak memberi malu kepada Fahmi. Fahmi dengan kekonya melayan bapanya di
sekolah. Namun, rahsia identiti bapanya akhirnya terlerai ketika salah seorang
daripada bapa-bapa yang hadir merupakan penyelia di tempat Razali bekerja.
“ Takkanlah kerja di tapak pembinaan
kena pakai tali leher, Jali ? Tidak usahlah disembunyi perihal diri itu. Buat
apa berbaju kemas jika poketnya kosong,” sindiran Kamal, penyelianya itu
diikuti dengan ketawa yang sinis.
“ Apa yang pakcik cakapkan ini ?
Siapa yang kerja sebagai buruh binaan, ayah sayakah atau pakcik?” Fahmi
melontarkan kemarahannya apabila usahanya untuk menyembunyikan identiti sebenar
bapanya hampir bocor. Razali hanya tunduk diam tanpa kata-kata.
“ Siapa lagi, bapak kau itu bukankah
buruh binaan? Kenapa, engkau ingat dia seorang doktor?” Kamal menghabiskan sisa
tawanya sambil kawan-kawan Fahmi yang lain cuma terpinga-pinga. Mereka terkejut
dengan kenyataan yang mereka dengar pada hari itu. Pekung di dada Fahmi
akhirnya terlerai sendiri.
Razali tidak mampu untuk menahan
malunya. Hampir saja air matanya tumpah namun dikuatkannya kerana tidak mahu
terlihat lemah di mata anak sulungnya itu.
“ Kawan-kawan…semua ini rekaan
semata. Kata-kata orang tua ini tipu belaka,” Fahmi menegaskan.
“ Kalau kamu semua tidak percaya,
lihat saja tangannya. Kasar seperti batu.Dia bekerja di bawah seliaan saya di
tapak binaan seberang sana. Buat apa saya hendak menipu. Dia yang menipu,”
Kamal menunding jari ke arah muka Razali.
“ Ya. Aku memang buruh binaan. Aku
bukan siapa-siapa. Tapi, kerana aku sayangkan anak aku, aku menjadi penipu.
Mungkin aku tidak layak berada di sini bersama kalian semua,” Razali berdiri
dan bingkas meninggalkan majlis yang terhenti seketika dengan keriuhan itu.
Fahmi membungkam geram. Dia mengejar
bapanya lalu menolak bapanya dengan kuat. Tubuh tua Razali rebah ke atas tanah
yang berlumpur. Dia terkejut dengan terjahan anak kandungnya sendiri.
“ Aku benar-benar menyesal bawa bapa
ke sekolah. Kerana bapalah aku malu. Kalau bapa tidak adapun aku tidak kisah.
Aku patut bersama emak dahulu lagi,” Fahmi menunjuk-nunjuk ke arah bapanya yang
perlahan-lahan angkat dari dalam lopak tanah yang berlumpur itu. Tanpa diminta
air matanya gugur jua. Dia benar-benar kecewa dengan Fahmi. Fahmi lebih rela
diagungkan kawanya daripada menyembahkan hormat dan kasih kepadanya. Razali
beredar dengan rasa malu dan kecewa yang bercampur-baur. Beberapa orang guru
dan tetamu jemputan cuba mendapatkan Razali, namun Razali lebih pantas beredar.
Fahmi terus menghilangkan diri entah ke mana.
Purtaran ingatannya itu terhenti
tiba-tiba ketika nafasnya terasa pendek. Dia melambai-lambai ke arah Luqman
yang terlelap di atas kerusi malas di tepi katilnya. Razali tidak mampu
mengeluarkan suara. Jantungnya dapat dia rasakan menjadi semakin laju. Melihat
kepada keadaannya itu, salah seorang daripada keluarga pesakit di hadapan
katilnya mengejutkan Luqman. Jururawat dan doktor dipanggil serta-merta. Razali
bernafas begitu pantas dan matanya mulai lemah dan layu. Luqman tidak dapat
berbuat apa-apa. Doktor dan jururawat meminta Luqman menunggu di luar dan
langsir di sekeliling katil Razali ditutup.
**********************************
Luqman menyimpan buku Surah Yassin
ke dalam beg kecil. Dia melihat seorang kakitangan di Rumah Mayat membukakan
pintu ruangan pengurusan jenazah. Kemudian, kelihatan dua warden penjara
membimbing tangan Fahmi yang bergari. Fahmi melangkah perlahan dan lesu di
dalam pakaian penjaranya. Luqman hanya
memerhati dengan linangan air mata masih belum kering di kelopak matanya. Dia
berlari kecil ke arah warden penjara yang bersama Fahmi.
“ Abang !!” Luqman terasa ingin
memeluk erat tubuh Fahmi saat itu.
Airmata Fahmi juga terlihat ketara
membasahi pipinya dan kemudian gugur ke atas dadanya. Dia longlai melihat wajah
Luqman yang memeluk tubuhnya. Egonya hari itu gugur satu-persatu. Dia hilang
bapanya yang pernsh dia anggap memalukannya dahulu. Dia telah hilang bapa yang
satu-satunya berjuang untuk kelangsungan hidup dia dan adiknya. Dia telah
hilang bapa yang tidak pernah dia pedulikan kemahuannya. Bapa yang tidak pernah
dia pedulikan perit di hatinya yang telah kehilangan daya. Bapanya kini tiada.
Dalam hatinya dijamah rasa bersalah yang teramat, wajah bapanya yang pernah dia
kasari dahulu muncul jelas di matanya.
“ Aku bapamu, Fahmi. Dari engkau
dilahirkan sehingga aku menutup mata,akulah bapamu. Akulah bapamu yang
satu-satunya dan tiada dua. Jangan kau lupa itu, Fahmi,” wajah Razali yang
berlumuran lumpur kemudian berlalu pergi, hilang perlahan-lahan.
“ Bapa sudah maafkan,abang,” Luqman
memegang kepala Fahmi dengan tangisan yang berderai jatuh.
TAMAT.
_______________________________________________________________________
_______________________________________________________________________
CERPEN- KASIH YANG HANYUT
Karya : Yaseer
Fikri
Fezal tidak ke laut hari ini. Hasratnya untuk bersama
nelayan-nelayan yang lain untuk menangkap Tenggiri yang kembali memeriahkan
perairan Sri Aman kala ini tergendala dengan keadaan ibunya, Imah Bojeng, yang
kurang sihat. Ibunya masih mampu menguruskan padi bukit milik peninggalan
suaminya jika tidak sakit. Sejak kebelakangan ini, Imah sering demam dan
mengalami batuk kering. Kadangkala, Imah sering mengadu sakit dada kepada
satu-satunya anak hasil perkahwinan dengan suaminya yang kedua. Ketika itulah
semua tugas harian Fezal akan tergendala beberapa ketika bahkan, sehingga
berminggu lamanya. Usia Imah yang sudah mencecah lewat 60-an seakan mengikat
keringatnya untuk terus bekerja. Dua beranak ini hidup dengan sangat sederhana
di rumah kampung yang terletak tidak jauh dari tebing sungai. Untuk ke kawasan
tenaman padi bukit di tanah yang sekerat dua itu, Imah terpaksa berjalan
merentas kampungnya. Dan, perkara inilah yang dirisaukan Fezal.
Kampung Ulu merupakan sebuah kampung nelayan
yang terletak di Debak, sebuah bahagian kecil di dalam Daerah Betong, Sarawak. Namun, separuh daripada penduduk di kampung ini juga
mengusahakan padi dan tanaman lain untuk menyara hidup. Dengan menyusuri Sungai
Rimbas, para nelayan akan keluar melalui muara sungai dan terus ke laut. Ketika
ini, nelayan seperti berpesta dengan musim Tenggiri yang menjelang saban tahun.
Pertengahan 2014 itu saja menunjukkan pendapatan nelayan daripada hasil
tangkapan Tenggiri dan Terubok cukup lumayan. Namun, bagi Fezal yang terpaksa
menjaga ibunya, keuntungan itu harus dilupakan sementara.
Imah memerhati ke luar rumahnya melalui
jendela yang terselak. Beberapa ekor ayam betina bersama anak-anaknya
beriringan menarik pandangannya. Dia khayal seketika. Dia duduk di kerusi kayu
yang sengaja diletakknya di hadapan tingkap. Untuk mengambil angin katanya.
Fezal datang dengan membawa segelas air asam jawa bercampur madu asli. Keadaan
ibunya yang kurang sihat sejak kebelakangan ini menggusarkannya. Sudahlah ibuya
enggan di bawa ke klinik, dia pula terpaksa untuk tidak turun ke laut beberapa
hari. Pendapatan hasil tangkapan ikan untuk minggu yang tersisa ini kiranya
boleh untuk menanggung mereka berdua untuk dua tiga bulan yang mendatang.
Namun, tanggungjawab untuk menjaga ibunya itu mesti digalas ikhlas. Kerana,
ibunya saja tempat mengadu nasib kala ini. Tiada keluarga lain yang sanggup
menyara mereka. Fikir Fezal juga, dia masih gagah untuk bekerja. Bantuan dan
belas keluarga hanya akan menambah kusut di kepala. Perebutan tanah pusaka
tahun lepas di antara mereka sekeluarga sudah cukup untuk Fezal mengenali
perangai adik beradik kepada arwah bapanya. Baginya, biarlah dia dan ibunya
mengalah diri dari berebutkan tanah sekerat dua itu. Nasib mereka baik kerana
tanaman padi bukit milik keluarga ibunya masik berbaki.
Imah menghirup perlahan air asam jawa
dan madu yang selalu Fezal sediakan untuk minumannya. Imah melihat ke wajah
anaknya. Harapan dan impian dia dan suaminya dahulu seakan pudar dan lesu.
Mereka teringin untuk melihat Fezal berjaya di dalam hidupnya. Meskipun Fezal
tidak berjaya menunaikan semua harapan itu, namun dia bersyukur kerana memiliki
anak yang sangat mulia, sanggup mengorbankan harapan itu semata-mata untuk
sentiasa berada di sisinya. Apatah lagi, ketika dirinya semakin dimamah usia.
Tidak kuat dan sihat seperti dulu.
“ Banyak Tenggiri di laut, mak,” Fezal
merenung ke luar jendela. Sesekali matnya melihat ke arah reaksi ibunya. Imah
hanya diam. Dia mengerti gejolak di hati Fezal ketika itu yang ingin turut sama
dengan nelayan lain meraih rezeki yang mereka fikirkan lumayan.
Imah meletakkan gelas ke atas lantai.
Dia menghela nafas panjang namun lemah. Dia batuk beberapa kali. Senak di
dadanya semakin parah. Sesekali dia mengeluarkan kahak bercampur darah ketika
batuk. Namun, perkara itu didiamkan dari pengetahuan Fezal kerana tidak mahu
memeritkan kegusaran di hati anaknya. Fezal mengurut belakang ibunya apabila
melihat ibunya batuk keras. Seakan tidak tertahan.
“ Itulah saya nak bawa mak ke klinik.
Biar penyakit mak itu diperiksa,” Fezal mengurut perlahan belakang ibunya.
Demam ibunya juga masih tidak menyusut. Namun, kedegilan ibunya persis arwah
ayahnya dahulu. Jika itu keputusan yang diambil, memang sukar hendak
ditukar-tukar.
Malam yang berkabut tebal menjadikan
suasananya dingin yang teramat. Cengkerik semakin girang menyanyi. Fezal
membelek-belek jalanya beberapa kali. Dia cuba mengesan mana-mana bahagian yang
koyak dan perlu dijahit semula. Ibunya sudah tidur di bilik ketika itu. Batuk
ibunya masih belum kurang. Sesekali kedengaran suara batuk ibunya dari dalam
bilik tidur. Memikirkan keadaan ibunya itu, Fezal menjadi serba salah. Dia
sudah berjanji dengan Daud untuk sama-sama ke laut Subuh keesokan harinya
dengan menaiki bot Daud hasil daripada bantuan Jabatan Pertanian tempoh hari.
Ibunya juga sudah memberi keizinan. Apabila dikenangkan kesihatan ibunya yang
semakin merudum, dia seakan patah semangat.
“ Fezal! Fezal!,” namanya tiba-tiba
dipanggil. Tangannya yang sibuk menjahit jala terhenti serta-merta.
Fezal melihat Suut berlari anak ke arah
tangga di beranda rumahnya. Jala dan pukat berselerakan di luar beranda. Fezal
bingkas bangun dan mendapatkan Suut yang tercungap-cungap dan basah kuyup.
“ Astafirullahaladzim. Kenapa ni ,Suut?
Bertenang dahulu. Cakap satu-satu,” Fezal mengerutkan dahi.
“ Anak Si Jenal...,” kata-kata Suut
terputus-putus dengan nafas nya yang pendek. Fezal memegang bahunya.
“ Kenapa dengan anak Jenal?”
“ Dia dibaham buaya..Dia ikut aku
menjala udang..Jalanya tersangkut,” Suut menghabiskan kata-katanya.
“ Ya Allah. Kau dah panggil orang
kampung ?” soal Fezal sambil menyarungkan baju kemeja ke tubuhnya.
“ Belum,Zal. Aku dah cuba nak tarik Si
Dillah ke atas tebing tapi buaya tu lebih kuat menarik kakinya ke air. Sekelip
mata Dillah hilang dari pandangan aku’” Suut separuh menangis. Suaranya
tenggelam timbul dengan nafasnya yang tidak menentu.
“ Mari kita panggilkan orang kampung.
Minta tolong siapa-siapa untuk hubungi pihak polis dan bomba,” Fezal naik ke
beranda dan menutup pintu. Lampu suluh dipegangnya erat. Dia sempat juga
mencapai parang panjang di tepi tangga.
Beberapa orang anggota bomba sudah
berada di Kampung Ulu sejak malam semalam. Dillah, seorang budak lelaki berusia
12 tahun telah dibaham buaya di Sungai Rimbas semalam ketika menemani Suut
untuk menjala udang. Dalam kejadian tersebut, menurut Suut, jala milik Dillah
tersangkut pada kayu tidak jauh dari tempat dia melabuhkan jala. Dillah turun
ke sungai meski sudah di ingatkan oleh Suut tentang bahaya serangan buaya.
Dalam sekelip mata, Suut mendengar teriakan daripada Dillah yang ketika itu
sudah diheret buaya ke dalam sungai. Suut berusaha untuk menarik tangan Dillah.
Namun, tenaga dan kepantasan Sang pemangsa tersebut tidak bisa ditandingi oleh
Suut.
Pihak bomba masih menjalankan usaha
mencari dan menyelamat. Mereka bergerak sehingga ke hilir Sungai Rimbas untuk mengesan
reptilia yang selama ini sudah banyak mengorbankan nyawa beberapa orang
penduduk kampung sekitar.Tangisan di tebing sungai mengisi sebahagian suasana
riuh rendah di Kampung Ulu tersebut. Ahli keluarga Dillah seperti sudah tidak
sabar untuk menanti berita daripada pasukan penyelamat. Dalam pada itu, bantuan
seorang pawang buaya juga diminta untuk sama-sama mengesan buaya ganas
tersebut.
Fezal menghampiri ibunya yang duduk di
beranda rumah. Ibunya turut kelihatan sedih atas kejadian yang menimpa Dillah.
Sesekali, Imah akan memanggil Dillah jika melihat Dillah bermain di kawasan
sekitar rumahnya untuk disuruh ke kedai suatu ketika dahulu. Dillah selalu
menurut tanpa membantah. Itulah yang menjadikan Imah terkilan mendengarkan
berita menyedihkan mengenai kanak-kanak malang tersebut.
“ Janganlah difikirkan sangat, mak. Itu
sudah tertulis lama. Sudah ditentukan Yang Kuasa,mak. Kesihatan mak lebih
penting,” Fezal melabuhkan punggungnya pada anak tangga. Ibunya mengeluh cuma.
Masih terbayang di matanya wajah Dillah yang mempunyai tahi lalat besar di
hidung memanggilnya ‘nenek’ ketika pulang dari membeli barang runcit di kedai.
Namun, hayatnya tidak panjang. Dillah anak kepada Jenal, seorang penjaja ikan
di kampoung tersebut sudah seperti cucunya sendiri.
“ Mungkin ambil masa juga untuk pihak
bomba itu,mak,” Fezal mengerling ke arah ibunya. Imah mengelap sisa air mata di
pipinya dengan lengan bajunya.
“ Berdoa sajalah, Zal. Kita pun akan
sampai masanya juga,” Imah angkat dari duduknya lalu masuk ke ruang dalam
rumah. Fezal menghela panjang nafasnya. Dia merenung jauh sehingga ke pokok
jambu air tidak jauh dari rumahnya. Dalam memikirkan mengenai kejadian tragis
yang menimpa Dillah,fikirannya tiba-tiba teringat akan buah pedada yang
dilihatnya di tebing sungai tadi. Nampak menyelerakan kalau di ulam dengan
sambal belacan. Daunnya pula sedap untuk dibalut dengan ikan dan dipanggang di
atas api. Pedada itu merupakan kegemaran ibunya. Dia berfikir untuk memetiknya
nanti. Mungkin terubat sikit kesedihan di hati ibunya melihatkan buah pedada
yang hijau ranum dibawakan kepadanya.
Petang itu sedikit mendung di kala
beberapa buah jentera bomba lalu di hadapan rumah Fezal. Fezal memerhatikan
sebuah trak biru milik pihak polis juga mengiringi di belakang. Hampir seminggu
selepas kejadian Dillah dibaham buaya. Namun, pihak bomba masih belum menemui
tanda-tanda penemuan mayat Dillah sehingga kini.
“ Kenapa, Zal?,” sapa Imah. Dia sibuk
memotong buah pedada yang baru dipetik Fezal pagi tadi. Fikirnya, buah pedada
itu jika dimakan bersama sambal belacan pasti terbuka selera. Tambahan pula,
untuk sekian lama ini, dia kurang berselera untuk menjamah nasi.
“ Bomba,mak,” jawab Fezal ringkas. Dia
menghampiri ibunya di meja makan. Kepenatannya selepas pulang dari laut awal
pagi tadi seperti hilang melihat ibunya leka memotong buah pedada untuk makan
malam nanti. Lauk ikan Tenggiri asam pedas juga menarik seleranya. Dia bersyukur
yang teramat melihat ibunya sudah mula mahu menjamah nasi. Sekurang-kurangnya
kesihatan ibunya boleh bertambah baik.
“ Masih mencari barangkali,mak,” Fezal
menguyah hirisan buah pedada yang diletakkan di dalam pinggan.
“ Entah jumpa ke tidak Si Dillah tu,Zal.
Sudah hampir seminggu.”
“ Berharap dan berdoa,mak.
Sekurang-kurangnya, jika mayat ditemukan, bolehlah dikebumikan dengan baik.
Lagipun, Jenal dan isterinya seperti tidak mahu menerima kenyataan yang Dillah
sudah mati.”
“ Astafirullahaladzim. Itu salah,Zal.
Qada’ dan Qadar Allah kita kena redha. Menangis dan meratap bukan semata-mata
perkara yang kita lakukan. Apa salahnya mereka buat majlis tahlil, sedekahkan
doa dan Al-Fatihah untuk Si mati lagi menguntungkan,” Imah mengeluh panjang.
“ Yalah,mak. Semua dah tertulis.”
Imah angkat dari kerusinya. Dia berjalan
perlahan ke arah sinki lalu membasuh pedada tadi dengan air. Fezal memerhatikan
ibunya cuma. Kegigihan ibunya benar-benar mengagumkan. Biarpun di usia begitu,
ibunya masih mampu mengusahakan padi bukit milik arwah ayahnya. Jika ada masa
terluang kerana tidak turun ke laut, Fezal akan membantu ibunya di sawah padi
agar dapat meringankan sedikit kelelahan ibunya.
“ Mak teringin sangat hendak ke Tanah
Suci, Zal. Mak fikir,sebelum mak mati, biarlah mak dapat melihat Kaabah,” Imah
menghentikan khayalan Fezal seketika. Fezal menarik nafas panjang. Mendengar
kata-kata yang tiba-tiba keluar dari mulut ibunya itu membuatkan hatinya pilu
sehingga ke dasar hati. Tanpa sedar, air matanya jatuh ke pipi. Lekas-lekas dia
mengelapnya.
“ Tetapi,simpanan mak di Tabung Haji itu
baru mencecah lapan ratus ringgit,Zal. Makcik Timah pernah mengatakan kepada
mak yang dia dan suaminya sudah mendaftar nama untuk menunaikan haji. Bila mak
tanya,simpanannya lebih daripada sepuluh ribu,” Imah menghela nafas panjang.
“ Mereka ada duit,mak,” ujar Fezal
lemah.
“ Mak berfikir, tanah untuk sawah padi
itu mak nak jualkan.”
Fezal sedikit terkesan dengan kata-kata
ibunya. Keinginan ibunya itu mengatasi segala-galanya buat Fezal. Soal tanah
itu tidak sedikitpun mengganggunya. Perkara yang paling penting adalah hasrat
murni ibunya harus ditunaikan. Mungkin duit simpanannya juga tidak
banyak,tetapi,jika cadangan ibunya itu digunapakai,barangkali ibunya boleh
menunaikan haji sesuai dengan kehendaknya.
“ Makcik Timah ada memberitahu mak.
Tauke Leong dari Sri Aman tu tengah mencari tanah di kampung kita ini. Fezal
fikir bagaimana?” Imah mengerling ke arah Fezal yang hanya diam tanpa
kata-kata.
“ Kalau Fezal tidak setuju, mak tidak
kisah. Mungkin tanah itu berguna untuk Fezal nanti. Apalagi kalau Fezal sudah
bekeluarga kelak,” ujar Imah sambil tangannya meletakkan pedada ke dalam
pinggan semula setelah dibasuh. Jauh di dasar
hatinya timbul satu pengharapan agar Fezal tidak membantah cadangannya
itu.
“ Mak dah tua,Zal. Entah mampu ke tidak
nak ke sana lagi.”
“ Mak...kalau itu kehendak mak,saya
tidak mempunyai halangan,mak. Kewajipan seorang anak untuk membahagiakan ibu
bapanya bukan?” Fezal menjawab halus. Matanya masih berkaca-kaca.
“ Betul, Fezal?”hati Imah tiba-tiba
berbunga mekar. Fezal ternyata tidak pernah mengecewakannya.
“ Fezal cuma hendak mak bahagia. Kalau
mak bahagia, Fezal akan lebih bahagia,mak,” air mata Fezal tidak tertanggung
lagi. Imah angkat dan menghampiri anaknya itu. Dia memeluk erat tubuh Fezal dan
mengucup rambut anaknya. Fezal menggenggam erat tubuh ibunya seperti tidak mahu
dilepaskan.
“ Terima kasih,nak,” ujar Imah sambil
menghabiskan esakannya.
Imah tersenyum ketika melihat ke arah
buku simpanan Tabung Hajinya yang baru dikemaskini oleh Fezal pagi tadi selepas
memasukkan wang berjumlah dua belas ribu ringgit ke dalam akaun ibunya, hasil
jualan tanah sebesar setengah ekar kepada Tauke Leong minggu lepas. Tauke Leong
mendapatkan tanah itu dengan nilai sebanyak dua puluh lima ribu. Baki daripada
duit tersebut diserahkan kepada Fezal untuk simpanannya. Tanpa Imah sedari, air
mata gembiranya membasahi pipi. Sekali lagi hatinya bercampur baur dengan
pelbagai rasa. Bahagia dan gembira kerana dengan izin Tuhan, dia akan meunaikan
haji,barangkali pada tahun hadapan. Itupun jika usianya masih panjang. Dia juga
sedikit pilu kerana tidak mempunyai apa-apa untuk ditinggalkan kepada Fezal
jikalau dia sudah tidak melihat dunia nanti. Perasaannya itu disimpan
dalam-dalam.
************************************************************************************************
Fezal menghampiri sepohon pokok pedada
berhampiran dengan tebing sungai. Pokoknya tidak terlampau tinggi. Buahnya
kelihatan ranum. Mungkin sudah sedia untuk dipetik. Ibunya teringin hendak
berlaukan pedada petang itu.Fezal lekas ke tebing sungai mendengarkan keinginan
ibunya itu. Hatinya cukup gembira melihat ibunya kembali tersenyum. Dia
mengharapkan hasrat ibunya untuk menunaikan haji tercapai. Biarpun tubunya
sedikit penat selepas pulang dari bandar dengan ditumpangkan Suut menggunakan
kereta Kancilnya, namun senyuman dan keriangan ibunya telah membuang penat itu
jauh-jauh. Meskipun begitu, kesihatan ibunya masih juga tidak berubah.
Fezal meletakkan kakinya pada satu dahan
di pokok pedada itu. Dia menolak tubuhnya ke atas untuk mencapai sebiji pedada
yang cukup hijau ranum di dahan paling atas. Digagahkan nya untuk menolak tangannya
ke arah buah tersebut dalam keadaan kakinya yang licin selepas dipenuhi lumpur
paya yang dipijaknya tadi. Kakinya tiba-tiba tergelincir dari dahan tempatnya
berpijak. Tangan kanannya cuba mencapai satu dahan besar di bawah badannya
namun gagal. Tubuh Fezal yang kurus itu jatuh ke dalam sungai yang sangat
hampir dengannya. Fezal menimbulkan diri ke permukaan sungai yang cuma sedalam
dua belas kaki itu. Dia mencapai akar pohon nipah di depannya supaya dia dapat
menarik dirinya ke atas tebing paya yang licin tersebut. Dengan sekelip mata,
kaki kanannya terasa pedih yang teramat. Terasa seperti dicucuk dengan benda
tajam yang tersusun panjang.
“ Ya Allah !!,” teriak Fezal apabila dia
menyedari seekor buaya tembaga sebesar perahu menerkam kaki kanannya. Buaya itu
menarik kakinya dengan kuat. Fezal cuba melawan dengan bertahan pada akar kayu
di tebing sungai. Pedih di kakinya semakin galak sesuai dengan tikaman gigi
buaya menggunakan rahangnya yang kuat ke dalam betis kanannya.
Tanpa mengenal belas, buaya tersebut
membawa Fezal ke dalam air. Semakin dalam, nafasnya semakin tidak tertahan
sehingga tubuhnya hampir sampai ke dasar sungai. Kemudian, bahagian kanan
perutnya terasa seperti ditusuk pisau berulang kali. Perit yang teramat itu
tidak bisa dia tanggung lagi dan memaksanya untuk membuka mulutnya menahan
kesakitan. Nafasnya dirasakan semakin pendek dan ketika itu air sungai sudah
mula memenuhi paru-parunya. Fezal hanya sempat melihat gelodak air sungai yang disebabkan
oleh gerakan buaya tersebut. Dan, penglihatannya mulai gelap dan hilang.
Imah
memasukkan secubit bicin ke dalam masakannya. Digaulnya lauk yang berasap itu
perlahan. Matanya mula mencari kelibat Fezal yang belum pulang-pulang dari
mengambil buah pedada di tebing sungai. Barangkali Fezal singgah ke rumah
temannya sebentar fikirnya. Imah memindahkan lauk yang sudah mendidih itu ke
dalam pinggan besar. Ketika itu, jam sudah hampir enam setengah petang.
“ Anak ni
tidak pulang solat kah? Buah pedada pun tidak sampai-sampai,” keluh dirinya
sambil berdiri di pintu dapur. Dia memandang ke sekitar kawasan dan rumah
berhampiran. Namun, kelibat Fezal tidak juga kelihatan. Imah melangkah masuk ke
biliknya untuk memakai telekung. Beberapa kali dia berpaling ke belakang
jikalau Fezal tiba-tiba pulang.
Selepas
menunaikan solat, Imah segera ke dapur. Dia menuju ke pintu dapur semula. Fezal
dilihatnya duduk di sebuah bangku kayu di beranda kecil di bahagian dapur
rumahnya. Fezal dilihatnya hanya termenung jauh dan diam walaupun dengan
kehadirannya di situ.
“ Lamanya
mengambil pedada tu, Zal?” soal Imah sambil berseloroh. Senyumannya terhenti
serta-merta melihatkan Fezal yang tidak menjawab sepatah katapun. Malah,
menoleh ke arahnya pun tidak sekali.
“ Kamu ni
dah kenapa, Zal? Ada masalah kah? Masuklah ke dalam. Nyamuk nipah banyak di
luar ni. Pergilah mandi lepas tu solat. Dapat kita sama-sama makan malam,” Imah
bersuara semula. Ketika itu larian Suut ke arah beranda kecil dapur itu
mengalih perhatiannya. Suut tercungap-cungap dan kehairanan ketika melihat
wajah Imah yang tersentak dengan kehadirannya.
“ Mak
Imah bercakap dengan siapa?” soal Suut kehairanan.
“ Ya
Allah, takkan kau tidak nampak Fezal kat situ,” sambil menunjuk ke arah bangku
tadi dengan memuncungkan mulutnya. Imah menjadi keliru dan terkejut yang
teramat. Bangku itu kosong tiba-tiba. Fezal yang dilihatnya duduk di situ
seperti ghaib serta-merta.
Suut
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil melihat-lihat sekeliling. Bulu
roma tengkuknya tiba-tiba berdiri tegak tanpa disuruh. Dia sangat terkejut
mendengar kata-kata Imah yang baru bercakap dengan Fezal, padahal orang kampung
menemui mayat Fezal dengan perut yang terburai di hanyutkan arus sungai ke
hilir kampung. Polis sudah dihubungi atas perkara tersebut. Cuma, bagaimana
ingin dia sampaikan berita sesedih itu kepada Imah ? Suut menjadi serba-salah
ditambah lagi dengan Imah yang mengatakan dia baru sahaja bercakap dengan
anaknya itu.
“ Mak
Imah,” Suut mengejutkan Imah dari kekakuannya. Imah masih terkejut dengan
keadaan yang dilaluinya tadi. Fezal hilang serta-merta dari bangku tempat dia
duduk. Sudahlah tidak bercakap satu ayatpun,fikirnya.
“ Kenapa,
Suut ?” Imah beberapa kali menoleh semula ke arah bangku kayu tersebut sambil
cuba mendengarkan perkara yang ingin Suut sampaikan. Suut mula mengalirkan
airmatanya tanpa bisa tertahan. Nasib kawan rapatnya itu ternyata tidak boleh
dinafikan dan diubah lagi.Satu-satunya kawan rapatnya yang masih tinggal di
Kampung Ulu itu.
Suut
mengelap sisa air mata di kelopak mata dan pipinya. Wajah Imah dipandangnya
dengan serba salah. Imah juga begitu. Hatinya mulai berdebar-debar melihat
keadaan Suut.
“ Orang
kampung......orang kampung jumpa mayat Fezal Mak Imah,” Suut menghabiskan
kata-katanya dengan ledakkan tangisan yang tidak dapat dibendung lagi.
“ Kau
cakap apa ni, Suut ?” Imah mengerutkan dahinya.
“ Fezal
mati dibaham buaya, Mak Imah. Orang kampung jumpa mayatnya di tebing sungai
sebelah hilir kampung ini.”
Mendengarkan
itu, Imah pitam tiba-tiba. Dia rebah di lantai dapurnya. Suut bergegas
mendapatkan Imah. Beberapa orang kampung juga kelihatan berjalan cepat ke rumah
Imah ketika. Imah di bawa ke biliknya dan diletakkan ke atas katil.
Seminggu mula berlalu elepas
kematian Fezal. Imah duduk di atas kerusi kayu di depan jendela seperti yang
sering dilakukannya. Suasana pilu masih lagi mengisi ruangan kecil di rumahnya
itu. Kehilangan yang teramat besar untuk dirinya. Pemergian Fezal merupakan
titik hitam di dalam hidupnya yang semakin sempit dia rasakan. Wajah Fezal yang
selalu mengisi ruang kosong di dalam hari-harinya masih jelas di mata meski
Fezal tidak bisa dihidupkan semula. Imah memerhati ke arah buah pedada yang
diletakkan Suut ke dalam pinggan pagi tadi selepas Suut menhantar sedikit kuih
untuk dia makan.Hatinya tanpa dipinta lalu terus meruntun sayu. Airmatanya
tidak tertahan dan meluncur laju membasahi pipi yang berkedut. Kasih seorang
anak yang tidak bisa dia gantikan dengan apapun telah lenyap begitu sahaja.
Kasih seorang anak yang dilahirkannya dua puluh sembilan tahun yang lalu. Kasih
seorang anak yang telah sanggup mengorbankan kehendak dirinya semata-mata untuk
memenuhi ingin ibunya. Dan, kasih itu tidak bisa dia temui di manapun. Kasih
itu telah hanyut bersama air sungai yang deras di kala hujan. Ya, kasih itu
telah hanyut lalu hilang.
TAMAT
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
Comments
Post a Comment