Aku Pergi Untuk Kembali

Oleh Yaseer Fikri



Meninggalkan sesuatu bukan dengan rela hati begitu pedih untuk kita hidapi. Meninggalkan dengan rasa terpaksa, dengan rasa yang kita tiada kemampuan apa-apa untuk menolak. Barangkali tiada yang terlepas daripada merasainya. Bukan Mati. Ini bukan soal mati. Ini soal kita yang bernyawa, terpaksa pergi, dan akan kembali lagi tapi untuk jeda masa yang payah untuk kita gambarkan. Tetap kembali selagi Tuhan memberi izin.

   Ini soal saat harus meninggalkan wajah anak-anak yang sugul, dan Isteri yang setia. Meninggalkan wajah-wajah ini bagi mengisi tuntutan amanah yang tersedia. Amanah yang bukan mampu kita tolak mentah-mentah dengan kata-kata yang mudah.

   Ketika saat kita tahu akan sampainya masa perlu menurut arahan untuk kembali bekerja, kala itulah kita melihat dalam-dalam mata kecil Si Anak. Dia tidak mengerti persis perpisahan sebenar namun dia merasa. Dia tahu esoknya akan sunyi, esoknya tiada suara yang melarang, memanggil dan memuji. Dia tahu temannya yang tidak pernah lali akan tiada esoknya. Akan pergi sementara dan dia terpaksa menelan kesunyiaan itu bersama-sama Si Ibu. 

" Bila ayah akan pulang lagi ?" soalnya itu merenggut naluri bapa, yang garang kadang-kadang namun ternyata lembut di dalam.

   Saat meninggalkan mereka itu begitu sukar. Sukar untuk diiyakan, sukar juga untuk direlakan. Tapi pergi itu bukan bermakna benci. Pergi itu bererti sayang. Pergi itu bagi mencari nafkah yang bukan dimakan sendiri, namun untuk dikongsi. Si Permaisuri juga bukan calang-calang tabahnya. Dia tahu dia harus setia. Dia tahu hening rumah tanpa suara mengerah anak-anak dan menyapanya akan terhenti seketika. Dia tahu di bahunya akan tergalas segala peran utama. Peran yang selalu dia kongsi, namun buat ketika ini harus dia pikul sendiri. 

   Si Isteri merasakan tiada yang mengerti. Dia kelihatan gagah. Namun, salur darah wanitanya tetap sama. Dia tetap lemah. Dia cuba gagah dengan segala kudrat yang tersisa dan muda. Dari celik mata hingga tertutup telinga, dia harus kerjakan sendiri. Langkah yang bakal meninggalkan mereka seketika itu akan dia turuti sehingga hilang dari matanya.



  Permaisuri itu menanggung rindu. Terkadang buat 28 hari, dan ada yang cuma 2 minggu. Namun, tiada yang faham akan penantian yang seketika itu seolah begitu lama buatnya. Dia menunggu sambil memujuk hati. Dia menunggu sambil membelai kasih anaknya tanpa kurang. Dia menunggu sambil merindu kasih yang akan pulang.

  Untuk Si Ayah, sekeliling melihatnya tiada rasa. Dia kelihatan begitu sanggup meninggalkan Syurganya. Dia seperti suka barjauhan dari anak isteri yang mencinta. Padahal, hati yang mendung di dalam hanya dia hadapkan kepada Tuhan Esa. Memohon limpah kurnia dan perlindungan buat suri hatinya dan juga permata jiwa. Dia juga lemah. Dia menangis dalam tawanya. Menangis sambil mengenang akan bertahankah dirinya terus-terusan dilambung gelora. Dia sudah tidak mampu. Berjauhan bukan pilihannya. Tambah pilu bila berkali-kali tanya anaknya memasuki ingatannya. Tambah luka bila melihat anak dan isterinya menyoroti langkahnya yang lalu menghilang di terminal 1, pintu 4 memasuki pesawat. Mereka sugul, namun di hati yang menghantar sangat inginkan dia kembali lagi. Memeluk mereka lagi.

  Bertatih juga menghabiskan tanggungjawab 2 minggu. Kaki yang baharu menjejak seolah ingin pulang kembali. Tanggungjawab ini harus Si Ayah selesaikan; segera dan sempurna. Lewat suara di telefon seakan menyirami pedihnya dengan rindu. Suara-suara anak-anak yang menginginkan itu dan ini. Suara Si Isteri yang bertanya makan dan rehat. Itulah pendendang setianya. Mendendang lagu-lagu mengubat hati. Sedang jarak yang sekaki dua ini sudah terasa hirisannya, apa lagi yang berada di hujung dunia. Apalagi yang pergi berbulan dua, dan apalagi yang pergi bertahun dua. 

  Tiada lekang bibir Si Ayah mengungkap doa. Dia hanya mahukan Yang Esa menjaga kekasih hati Si Ayah di sana. Melindungi mereka daripada kejahatan dan susah. Terkadang, ralit bekerja menghilangkan rasa sakit rindu seketika. Namun, ia seperti kapas, digenggampun akan kembang semula. Saat-saat itu Si Ayah mencari cara, mencari usaha agar tidak perlu berjauh lagi. Tiada perlu meninggalkan sesiapa lagi. Namun, tidak banyak pilihan yang dia punya.

  Detik tibanya kepulangan memberi bunga-bunga yang mekar di hati Ayah. Bunga-bunga yang bercahaya lalu memancar ke wajah isteri dan anak. Khabar itu yang mereka nanti. Si Ayah juga sama. Akan dia peluk erat permata-permatanya itu nanti, melepas rindu sehabis hati. Itu sahaja mahunya. Dia tahu, dia akan meninggalkan lagi, namun riang anak menjadikannya lupa seketika soal itu. Itu soal kemudian, ujar hatinya. Kekasih yang menanti itu lebih dia impi.

  Maka, Si Ayah kembali ke pangkuan anak isteri. Selamat dan sihat. Syukur pada Ilahi dia tanpa henti. Tiada saat indah lain yang bisa mengganti. Berkali-kali kucupan rindu dia hadiahkan,buat Isteri,buat anak yang setia. Jauh juga di hatinya mengingatkan kembali bahawa, DIA SEKADAR PERGI untuk bisa DIA KEMBALI.





#terima kasih atas kesetiaan dan pengorbanan Isteri-isteri dan anak-anak PELAUT/PEKERJA luar pantai dan siapa sahaja yang terpaksa akur ditinggalkan Suami dan Ayah sementara. Tangisan anda penguat yang abadi. Kalian wirawati kami nan SEJATI.





  



Comments

Popular Posts