Kenapa Doktor tak bagi Antibiotik ??

Oleh Yaseer Fikri


Assalamualaikum semua,

Keperluan perubatan merupakan aspek terpenting di dalam kehidupan kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan kemudahan infrastruktur perubatan dan kesihatan yang masih boleh diperolehi secara percuma. Meskipun, terdapat ribuan kemudahan perubatan swasta yang memberikan kemudahan perubatan dengan caj-caj tertentu dan lebih eksklusif, namun, kemudahan perubatan awam masih menjadi pilihan pesakit.
                Tujuan utama untuk kita mengunjungi klinik atau hospital adalah bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit yang kita hidapi. Kadangkala, kita mengharapkan para doktor memberikan ubat-ubatan yang kita inginkan yang kita kira mampu menyembuhkan keadaan penyakit yang kita hidapi. Antaranya adalah ubat ANTIBIOTIK yang selalunya kita minta bagi merawat demam dan dan sakit-sakit tekak ataupun batuk. Pun begitu, tidak semua keadaan penyakit memungkinkan doktor untuk mempreskripsikan Antibiotik ke atas pesakit. Perkara inilah yang kadang-kadang akan mendatangkan ketidakpuasan hati di kalangan pesakit.

Apa itu Antibiotik ?
Antibiotik atau juga dikenali sebagai antibacterial adalah sejenis ubat antimicrobial yang digunakan di dalam penyembuhan atau pencegahan jangkitan bakteria. Antibiotik bertindak sebagai pembunuh kuman atau bertindak sebagai penghalang kepada pertumbuhan bakteria. Pun begitu, Antibiotik tidak berkesan untuk membunuh Virus yang juga merupakan salah satu mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia. Di samping menjadi agen pembunuh bakteria, Antibiotik tertentu juga digunakan untuk membunuh PROTOZOA iaitu sejenis parasit.


Sir Alexender Fleming

   Jika hendak ditelusuri sejarah Antibiotik ini, jalan ceritanya terlampau panjang. Antibiotik pertama yang selamat digunakan oleh manusia telah diasaskan oleh Sir Alexander Fleming pada tahun 1928. Antibiotik yang dikenali sebagai Penicillin merupakan hasil penemuaan Alexander Fleming ke atas molekul yang dikeluarkan oleh sejenis fungus yang boleh membunuh atau menghentikan pertumbuhan bakteria/kuman tertentu.
Kebanyakan Antibiotik yang kita ketahui diambil melalui oral (mulut) dan ada juga Antibiotik yang diberikan melalui intravena. Seperti ubat-ubatan yang lain, Antibiotik juga tidak terkecuali daripada menghidangkan beberapa kesan sampingan kepada pesakit yang mengambilnya. Antara kesan sampingan yang paling kerap berlaku adalah ALAHAN yang mungkin berlaku kepada pesakit-peakit tertentu dan mempunyai masalah hypesensitivity kepada antibiotik. Walaupun begitu, sebelum Antibiotik diedarkan dan diguna-pakai di dalam institusi kesihatan, ia terlebih dahulu diperiksa dan disahkan selamat sebelum diambil oleh pesakit.
Kenapa tidak bagi sahaja Antibiotik ?
                Menyentuh kepada tajuk utama kita di atas, kenapa sesetengah doktor tidak memberikan Antibiotik jika benar ia merupakan ubat yang bagus untuk membunuh kuman. Perlu kita ketahui bahawa tidak semua penyakit yang ada di dunia ini adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria atau kuman. Seperti yang disebutkan di atas, Antibiotik tidak berkesan untuk membunuh Virus di dalam penyakit-penyakit seperti Flu atau selesema.
                Kebanyakan pesakit yang datang ke klinik atau hospital berfikir bahawa Antibiotiklah ubat terbaik untuk merawat penyakit mereka. Namun, setelah diperiksa oleh doktor, mereka hanya menerima ubat rawatan simptomatik seperti Paracetamol, Piriton atau mungkin sirap ubat batuk. Seperti yang saya sebutkan tadi, tidak semua penyakit adalah disebabkan oleh bakteria. Bagi pesakit yang datang ke klinik dengan aduan selesema atau demam ringan, kebanyakan rawatannya adalah secara simptomatik sahaja tanpa bantuan Antibiotik.
                Bagi sakit-sakit tekak dan batuk yang kadangkala kita anggap sebagai Tonsilitis atau Pharygitis, ia bergantung kepada presentasi penyakit. Jika doktor mengesahkan bahawa tiada tanda-tanda kehadiran bakteria sebagai agen penyebab, maka Antibiotik adalah TIDAK diperlukan.
                Selain daripada punca penyakit yang tidak memungkinkan doktor untuk mempreskripsikan Antibiotik, kesan seperti Antibiotic Resistance yang boleh mendatangkan masalah besar kepada pesakit itu sendiri adalah kerisauan utama. Antibiotic Resistance adalah keadaan di mana bakteria sudah berhasil menyesuaikan diri kepada ubat atau bahan kimia di dalam antibiotik setelah beberapa kali didedahkan kepada antibiotik ini, dan pada akhirnya bahan kimia yang terdapat di dalam Antibiotik ini tidak mendatangkan kesan yang sepatutnya kepada bakteria terbabit. Ini akan menyebabkan bakteria tersebut terus hidup dan membiak di dalam badan pesakit dan mendatangkan kesan yang lebih buruk.
                Keadaan seperti ini adalah disebabkan oleh kita sendiri yang mengambil Antibiotik di kala tidak diperlukan oleh tubuh untuk melawan kuman. Kuman yang berada di dalam tubuh berorientasi sendiri kepada Antibiotik yang kita ambil dan setelah mereka sebati dan mengenali reaksi ubat ini, mereka akan membina benteng baru bagi mengelakkan Antibiotik yang sama daripada membunuh mereka.
                Doktor telah dilatih untuk mengevaluasikan penyakit samaada disebabkan oleh bakteria ataupun virus. Mereka akan mengajukan pelbagai soalan yang berkaitan (yang kadangkala kita rasakan merepek) bagi mengetahui punca kepada penyakt kita. Bagi kes-kes yang serius, spesimen darah adalah diperlukan bagi melihat pertambahan Sel Darah Putih (White Blood Cell) yang biasanya akan berlaku di dalam jangkitan bakteria.
Berikut adalah penyakit/ keadaan yang tidak memerlukan rawatan Antibiotik:
·         Selesema ringan berserta demam (Cold).
·         Flu.
·         Sakit tekak biasa.
·         Kebanyakan batuk dan Bronchitis.
·         Jangkitang Sinus.
·         Kebanyakan jangkitan telinga.
·         Demam Denggi dan Malaria
Kebayakan penyakit di atas boleh sembuh dengan sendiri atau hanya dengan rawatan simptomatik sahaja. Pengambilan Vitamin C juga boleh membantu mempercepatkan penyembuhan di samping rehat yang cukup.


Kesimpulan
                Janganlah disalahkan doktor yang tidak memberikan apa yang kita mahu. Setiap keadaan penyakit mempunyai cara dan langkah yang tersendiri untuk ditangani. Para doktor telah dilatih untuk mengenalpasti punca keadaan penyakit sebelum mereka memberikan ubat-ubatan sebagai rawatan. Kita seharusnya memberikan maklumat yang JELAS kepada doktor tentang keadaan dan gejala penyakit yang kita alami supaya ia dapat memudahkan mereka mengenalpasti rawatan yang paling sesuai untuk diberikan. Antibiotik bukan satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah kesihatan kita. Perkara utama yang harus kita risaukan adalan kekebalan bakteria kepada Antibiotik yang kemudiannya menyebabkan penyakit kita tidak dapat diubati dengan sempurna.
                Di entry yang akan datang, saya akan kongsikan tentang masa yang sesuai untuk mengambil Antibiotik, adakah selepas atau sebelum makan ? Semoga kita dipelihara oleh Allah daripada penyakit-penyakit yang memudaratkan.

               

               
               
               

                

Comments

Popular Posts