Bagaimana pekerja luar pantai (Offshore) menyambut Hari Raya Aidilfitri ??

Oleh Yaseer Fikri


Assalamualaikum semua,

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia tanggal 1 Syawal setiap tahun. Perayaan ini akan disambut meriah setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Berkumpul bersama sanak dan saudara, menjamu hidangan enak bersama dan saling ziarah-menziarahi sesama keluarga serta memohon kemaafan bagi kesilapan lalu, telah menjadi adat yang meleburkan jiwa umat Islam yang menyambutnya. Tidak dinafikan kemeriahan Aidilfitri setiap tahun akan dinanti-nantikan oleh segenap Muslimin dan Muslimat tanpa mengira usia dan pangkat.
                Meskipun Aidilfitri masih berbaki beberapa bulan daripada sekarang (puasa pun belum), namun, di dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman yang saya sendiri lalui pada Aidilfitri 2016 yang lalu. Pengalaman ini begitu manis dan tidak bisa diperolehi di tempat lain saya kira.
                Sambutan Aidilfitri pada tahun 2016 lalu adalah yang paling bermakna buat syaa. Saya terpaksa bertugas di Rig dan mula ke laut pada pertengahan Ramadhan. Sudah saya jangka, perasaan sedih benar-benar merasuki diri saya ketika itu. Apalagi, mengenangkan wajah anak dan juga isteri yang terpaksa beraya tanpa kehadiran saya di sisi buat pertama kalinya.

Menjelang Aidilfitri di Offshore
Pengumuman sambutan Syawal kami tunggu di kaca televisyen beramai-ramai di bilik TV pada malam itu. Ketika diumumkan pada lusanya adalah Syawal pertama, kesemua krew yang beragama Islam tampak gembira. Tidak kurang pula yang berduka mengenangkan keluarga, meskipun bukan kali pertama mereka berjauhan daripada keluarga meraikan Aidilfitri.
                Selaku Medik yang bertugas, saya rasa terpanggil untuk menyusun atur acara bagi sambutan 1 Syawal yang bakal menjelang tiba. Bukan kerana ketiadaan orang atasan, namun Offshore Installation Manager (OIM) kami ketika itu merupakan Mat Salleh berbangsa Australia. Tidak manis pula jika kami serahkan bulat-bulat kepadanya tentang susun atur perayaan kita.
                Saya melakukan perbincangan bersama beberapa krew yang lain. Kami merancang tempat bagi solat sunat Aidilfitri, menentukan acara sampingan pada malamnya dan proses mencari Imam dan Khatib khutbah. Bagi bacaan khutbah, saya sukarela menyanggupi tanggungjawab itu. Khutbah khas Aidilfitri 2016 saya muat turun daripada Portal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi membuatkan krew berasa lebih dekat dengan keluarga di darat. Sekurang-kurangnya khutbah Aidilfitri yang didengar oleh sanak saudara di daratan sama seperti yang mereka dengar di lautan.
                Bagi mengimami solat sunat Aidilfitri, saya memohon bantuan daripada seorang Drilling Engineer PETRONAS ketika itu. Dia setuju dan perancangan bagi sembahyang Raya nanti kelihatan hampir selesai.
                Lokasi solat sunat Aidilfitri telah dicadangkan oleh OIM saya sendiri. Memandangkan bilangan krew beragama Islam ketika itu cukup ramai, beliau merasakan bilik TV/ Taklimat adalah lokasi yang paling sesuai dan mampu menampung jumlah krew untuk solat sunat Aidilfitri nanti. Langsung, rasa hormat kepada OIM kami yang bukan beragama Islam malah berasal dari Australia mula timbul. Beliau begitu memahami malah menyokong rancangan kami.
                Soal hidangan makanan tidak menjadi kerisauan kami. Krew katering telah menjanjikan menu makanan yang bersesuaian dan mampu menggamit keseronokan kami menyambut Aidilfitri. Untuk pengetahuan, semua perayaan di Malaysia disambut dengan meriah di atas Rig kami. Dan, makanan yang disediakan adalah bersesuaian dengan sambutan perayaan yang disambut.

Ketupat bagaimana?
Daun kelapa yang menjadi medium utama untuk mengayam ketupat mungkin menjadi masalah utama di laut jika difikirkan. Ketiadaan sumber pokok kelapa barangkali merencatkan usaha kami untuk mengayam ketupat. Campboss (Penyelia Katering) telah memainkan peranan penting bagi menjadikan impian kami untuk menikmati ketupat raya satu kenyataan.

Mengayam ketupat

Inilah hasilnya. Terbaiklah untuk offshore level..haha

                Daun kelapa untuk mengayam ketupat ditempah dari Labuan di mana kesemua Food Supply untuk kegunaan Rig datang dan ditempah dari sana. Sehari sebelum Hari Raya, gotong-royong dilakukan bersama-sama semua krew untuk mengayam ketupat. Kebayakan daripada kami adalah krew lelaki. Alhamdulillah, tiada masalah untuk ketupat dianyam satu-persatu.

Malam Raya
Menjelang Aidilfitri, malam raya merupakan saat yang paling indah buat Muslimin dan Muslimat. Di malam ini kita bekumpul bersama keluarga bagi menyiapkan persediaan terakhir sebelum tibanya Hari Raya. Dodol dan lemang juga dibakar pada malam tersebut.
                Ketika di Rig, malam raya diisi dengan gotong-royong mengemaskan bilik TV bagi solat sunat Aidilfitri di pagi Raya. Kerusi dialihkan bagi menyediakan ruang yang luas untuk menampung makmum pada sembayang Raya nanti. Sesekali, riuh-rendah ketawa kami menghilangkan kesedihan di hati ketika pada malam raya itu. Lagu raya dimainkan di telefon bimbit untuk menghiburkan hati kami yang sibuk mengemaskan ruang solat. Sayu irama Aidilfitri Sudirman Hj Arshad dalam lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf sedikit sebanyak menyebabkan hati kami tersentuh (bahkan airmata pun mengalir)

1 Syawal – Di pagi Raya
Krew menjadi lebih gembira apabila dua ketua kami, OIM dan juga Petronas Drilling Supervisor membatalkan kesemua mesyuarat rutin pada hari itu. Krew sedikit bebas meskipun masih terikat dengan tugas yang belum selesai di lantai penggerudian dan juga di dek.
                Kami berkumpul seawal 7 pagi di bilik TV . Takbir raya menghantarkan rasa syahdu di hati kami pada pagi itu. Krew bergilir-gilir melantunkan suara untuk bertakbir sebelum kami memulakan solat sunat Aidilfitri tepat jam 8 pagi.

Bilik TV tempat kami menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Takbir Raya bergema di tengah lautan

                Seperti yang dirancang, kami memulakan solat sunat Aidilfitri dengan diimamkan oleh wakil Petronas dengan lantunan surah-surah lazim dan Al-Fatihah yang cukup merdu pada pagi yang mulia itu.
                Selesai solat, saya mengambil alih tugas untuk membacakan Khutbah Aidilfitri. Khutbah didengar dengan teliti oleh semua makmum yang hadir, sambil rasa sayu hinggap ke hati kami tanpa henti. Wajah keluarga yang menunggu di rumah selesai solat di masjid kebiasaanya, bermain-main di fikiran kami.

Keluarga kecil kami

                Sesuai sambutan barakah Aidilfitri, kami bersalam-salaman sambil memohon kemaafan atas segala kesilapan dan ketelanjuran bahasa ketika betugas bersama selesai bacaan khutbah. Kami mengabadikan kemeriahan keluarga kecil kami di lautan biru dengan sesi fotografi beramai-ramai di atas Heli Deck sebelum kami ke Galley untuk menjamu selera dengan hidangan ringan yang telah disediakan oleh pihak katering.
Minum selesai Solat Aidilfitri
Minum pagi pun dah kenyang

Apa orang Offshore makan pada Hari Raya??
Jika saya terangkan satu-persatu di sini mungkin kita tidak dapat merasakan kemeriahan juadah Aidilfitri yang kami nikmati pada pagi itu. Minum pagi seperti biasa, selepas solat itu  kamu sudah dihidangkan dengan ketupat dan rendang serta tidak lupa juga lemang dan  kuah kacang. Hidangan ringan itu sudah cukup mengenyangkan dan menurut Campboss, hidangan kemuncak akan dihidangkan sewaktu makan tengahari nanti.

Di sini saya kongsikan foto-foto makanan yang terhidang:

Siap ada Masjid ais tuu..tak boleh makan pun

Macam kek kahwin dah..heheh


Raya kat Sarawak, tentulah ada Kek Lapis

Sedap Tiramitsu ni..hehe

Upacara potong kek pun ada


                Pada malamnya, kami mengadakan Pertandingan Karoake Aidilfitri 2016. Sambutan yang diberikan oleh krew amat menggalakkan. Sekali lagi, pihak atasan kami telah memberikan kerjasama yang cukup baik dengan mendermakan hadiah wang tunai buat pemenang. Aktiviti ini jelas begitu menghiburkan dan menghilangkan kesunyiaan pada diri krew-krew di Rig tersebut.


Kesimpulan
Di manapun kita berada, Aidilfitri tentu sekali kita sambut dengan meriahnya dan diiringi dengan rasa kesyukuran kepada Sang Pencipta setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Rasa kesyukuran itu juga melambangkan rasa terima kasih kita kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan tanpa henti dan tidak ternilai harganya. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd..
Lepas baca khutbah la kununnn..hee


Mud Engineer dari Algeria


                

Comments

Popular Posts