Leptospirosis ? Kencing tikus ?

Oleh Yaseer Fikri


Assalamualaikum WBT


Pernahkah sahabat sekalian mendengar atau barangkali menghidapi penyakit seperti di atas?
Inshaallah semoga kita sama-sama dilindungi daripada penyakit yang memudaratkan ini.






Apa itu Leptospirosis ?


Ramai yang kenal dengan nama penyakit kencing tikus, bukan? Leptospitosis ini juga 
mempunyai beberapa nama lain yang mungkin pernah kita dengar dan ada di antaranya 
mungkin tidak pernah kita dengar. Antaranya seperti 


  • Penyakit Weil, 
  • Demam Icterohemorrhage, 
  • Penyakit Swineherd’s
  • Demam pesawah (Rice-field fever), 
  • Demam Pemotong tebu (Cane-cutter fever), 
  • Demam Swamp
  • Demam Lumpur, 
  • Jaundis berdarah, 
  • Penyakit Stuttgart
  • Demam Canicola.
Jangkitan yang boleh membahayakan manusia dan haiwan ini adalah disebabkan oleh sejenis kuman daripada genus Leptospira. Kebiasaannya, jangkitan berpunca daripada pendedahan kepada air atau tanah yang telah dicemari oleh kencing haiwan yang telah dijangkiti.
Leptospira


Siapa yang berisiko untuk dijangkiti penyakit ini ?

Leptospirosis berisiko untuk berlaku di negara yang beriklim panas dan tropika seperti negara kita.
Antara individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti adalah :

#Mereka-mereka yang melakukan kerja yang terdedah dengan panas pun boleh kena. Tapi bukan semua. Kebanyakannya adalah yang berkait rapat dengan haiwan-haiwan. Contohnya, petani, pekerja rumah penyembelihan, pekerja sistem pembentungan, doktor haiwan, pemotong kayu,pesawah dan anggota tentera.

#Aktiviti yang dilakukan di dalam air - berenang, berkayak terutamanya di kawasan air yang tidak mengalir seperti tasik. 

#Terdedah kepada peralatan di rumah termasuk, binatang peliharaan seperti anjing, binatang peliharaan untuk disembelih, ruang perangkap air dan mengambil makanan yang telah digigit oleh binatang seperti tikus, tupai dan arnab.

# Pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan pesakit yang mengalami luka terbuka.



Apa tanda-tanda kita dijangkiti oleh Leptospirosis ?


Antara masalah yang boleh timbul ketika merawat Leptospirosis ini adalah gejala atau simptomnya kelihatan terlalu umum dan kadangkala akan menyebabkan misdiagnose dan terkeliru dengan penyakit seperti Demam Denggi, Malaria, Meleodosis (paling kerap mengelirukan) dan sebagainya akibat daripada presentasi penyakit yang hampir sama. Dan, pada tahap ini, doktor selalunya akan merujuk kepada keputusan darah seperti Lepto Serology untuk mengesahkan pesakit mengalami Leptospirosis.
Gejala yang kerap timbul adalah:



  • Demam panas 
  • Sejuk dan bergetar-getar
  • Sakit kepala
  • Sakit-sakit badan
  • Kemerahan pada conjunctiva mata 
  • Cirit-birit 
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Jaundis (kulit dan mata kekuningan) selalunya pada kes yang kritikal. 
  • Antara 7% hingga 40% pesakit mungkin mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak,kekerasan otot, perubahan bunyi pada paru-paru atau ruam.
Perlu diingatkan di sini, bukan semua gejala yang tersenarai di atas akan ditunjukkan oleh pesakit. Di sini, rawatan awal dan terperinci terutama untuk mengesan punca jangkitan memainkan peranan penting.

Bagi mengesahkan pesakit telah dijangkiti Leptospirosis, beberapa ujian makmal akan dilakukan antaranya:

1. Microscopic Agglutination Test (MAT)
2. Positive Culture for Pathogenic Leptospires
3. Positive PCR
4.Lepto Serology, dan beberapa lagi ujian yang dirasakan perlu.


Bagaimana ia boleh menjangkiti manusia?

Kuman Lerptospira akan memasuki kulit yang terbuka (akibat luka atau iritasi) atau lapisan mukosa/konjuntiva yang terdedah kepada tanah atau air yang telah dicemari oleh kencing haiwan yang telah dijangkiti Leptospirosis. 
Setakat ini, jangkitan di antara manusia dan manusia belum direkodkan. 


Rawatan Leptospirosis ?


Di hospital, pesakit yang telah disahkan mengalami Leptospirosis akan diberikan rawatan Antibiotik untuk membunuh kuman Leptospira di dalam darah. Bermula daripada, Penicillin sehinggalah kepada Doxycycline dan beberapa ubatan lain akan turut diberikan bagi memastikan penyembuhan pesakit. 


Pencegahan ?


"Mencegah lebih baik daripada mengubati"
Leptospirosis ini boleh dicegah dengan :

1. Elakkan mengunjungi kawasan yang ada air bertakung terutama jika mempunyai keadaan kulit terbuka akibat luka atau masalah kulit.

2. Keadaan pasca banjir boleh menyumbang kepada risiko jangkitan. Elakkan berendam untuk tempoh masa yang lama dengan kulit terdedah di dalam air banjir.

3. Pengambilan ubat Doxycyline menurut Dr.Fuad Hashim mampu mengelakkan jangkitan.

4. Jika membeli minuman tin di kedai, pastikan penutup/mouthpiece tin atau botol dicuci sebelum diletakkan ke mulut. Risiko untuk minuman tin yang disimpan di kedai atau gudang terdedah kepada kencing tikus adalah tinggi. 

5. Bagi yang mempunyai keadaan kulit terbuka dan perlu untuk berada di dalam air yang bertakung, pastikan kulit yang terdedah ditutup dengan penutup kalit air bagi mengelakkan jangkitan.



Kesimpulannya, semua penyakit mempunyai penawarnya. Namun langkah pencegahan awal tidak harus dipandang enteng dan rawatan awal di hospital dan klinik adalah perlu bagi memastikan pengesanan awal.

Ada di kalangan sahabat mengesyorkan untuk mengamalkan meminum air rebusan serai jika mengalami demam panas atau mempunyai risiko jangkitan kencing tikus ini. Namun tiada kajian saintifik dilakukan ke atas khasiat serai untuk mengatasi demam panas dan Leptospirosis. Pun begitu, tidak salah kita berikhtiar kerana semua kesembuhan adalah atas izin Allah jua, asalkan tidak bertentangan dengan syarak.



Sumber rujukan :

1. Portal Myhealth (http://www.myhealth.gov.my/en/leptospirosis/) tulisan Dr. Fuad Hashim


2.GUIDELINES FOR THE DIAGNOSIS, MANAGEMENT, PREVENTION AND CONTROL OF LEPTOSPIROSIS IN MALAYSIA (Kementerian Kesihatan Malaysia Edisi 2011)


Comments

Popular Posts