Jika bukan daripada air sungai dan tanah dari mana lagi ??

Oleh Yaseer Fikri


Assalamualaikum semua,
Di dalam entry yang lepas, saya telah menyentuh mengenai perihal Leptospirosis atau lebih kita kenali dengan nama penyakit Kencing Tikus. Penyakit ini merupakan penyakit yang tidak boleh kita pandang mudah dan dibiarkan begitu sahaja.
Dalam beberapa kes yang saya kendalikan di hopital suatu ketika dahulu, ramai pesakit yang tidak dapat diselamatkan akibat daripada kelewatan mendapatkan rawatan. Salah-satu puncanya adalah, keadaan penyakit ini sendiri yang lebih menyerupai demam biasa, sehinggalah pada peringkat kritikal, baharulah ia dapat dikesan melalui saringan darah Lepto Serology.
Dan, pada pagi ini saya menerima panggilan daripada isteri yangh berada di Kapit, mengatakan bahawa anak sulung saya terpaksa dibawa ke hospital kerana mengadu tidak dapat berjalan dan mengalami sakit kaki yang agak serius. Beberapa hari sebelumnya, dia telah mengalami demam panas dan bengkak di bahagian kelopak mata bawah serta kemerahan pada matanya (conjunctiva). Sakit kaki itu berlaku sewaktu dia bangun dari tidur dan pada permulaan, isteri saya hanya menganggap ia sebagai sakit kaki biasa akibat daripada posisi tidur yang tidak betul.
Apabila keadaan sakit kaki pada bahagian betis itu bertambah serius yang menghalang anak saya daripada berjalan, isteri saya terus membawanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan. 3 hari sebelum keadaan ini berlaku, isteri telah membawa anak saya untuk bertemu dengan doktor di klinik swasta dan telah diberikan Antibiotik serta Paracetamol untuk mengawal demamnya.
Setelah ujian darah dibuat, dan mendapat konsultasi daripada Pakar Kanak-kanak di Hospital Kapit, anak saya terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. Secara klinikalnya, pakar tersebut mengesyaki anak saya dijangkiti Leptospirosis atau kencing tikus.

 
Anak saya ketika masih di Jabatan Kecemasan

Bagaimana jangkitan ini boleh berlaku ?
Di dalam entry yang lepas saya telah kongsikan mekanisme jangkitan Leptospirosis. Antara sebab umum jangkitan adalah, terdedah kepada air / tanah yang dicemari oleh kencing haiwan yang telah dijangkiti oleh Leptospirosis.
                Di dalam kes anak saya, setiap satu-persatu mekanisme adalah tidak bersangkut-paut dan persoalannya bagaimana dia memperolehi risiko jangkitan ? Anak saya tidak pernah saya bawa untuk mandi-manda di kawasan air terjun seumpamanya, apalagi jika ke sungai. Dia juga saya perhatikan, tidak pernah bermain di  kawasan tanah yang lembab yang memungkinkan kuman Leptospira ini untuk memasuki tubuh.
                Ketika ditanya oleh Paedatrician di hopital tentang faktor pendedahan, isteri terfikir mengenai ikan belaan yang telah diberikan jiran kepada anak saya. Ikan tersebut diperolehi daripada sungai di kawasan Kapit ( Untuk makluman, rata-rata kawasan lembap dan berair di Kapit telah disahkan mempunyai risiko jangkitan Leptospirosis dan Meleodosis). Di dalam keadaan ini, berkemungkinan anak saya terdedah dengan air ikan (menurut kata pakar) yang dipeliharanya  ketika dia bermain dengannya.
                Walaubagaimanapun, secara klinikal, keadaan ini tidak boleh disandarkan seratus peratus kepada faktor ikan dari sungai yang dimainnya semat-mata. Ia hanyalah merupakan bantuan konsultasi dan pengambilan sejarah pendedahan (exposure) sahaja dan pengesahan sebaliknya akan bergantung kepada keputusan darah Culture and Sesitivity atau Leptospirosis Serology nanti.
                Namun, selain daripada kemungkinan yang saya letakkan di dalam entry saya yang lepas, kita boleh menambah di sini tentang ikan yang diambil dari sungai yang dicemari kuman Leptospira juga boleh memberikan faktor risiko yang menyumbang kepada jangkitan Leptospirosis.
                Apapun diagnosanya, saya benar-benar memohon kepada Ilahi agar anak sulung saya ini dijauhi daripada penyakit merbahaya dan semoga keputusan darahnya nanti tidak menunjukkan sebarang kemungkinan jangkitan Leptospirosis ini. InshaAllah.
                Saya ketika ini masih berada di Labuan atas urusan kerja. Penyelia telah saya maklumkan tentang keadaan anak saya. Semoga mereka dapat mencari pengganti sementara untuk saya, bagi membolehkan saya pulang sebentar ke Kapit. Kasihan Si Anak, baharu menjengah alam sekolah, kini sudah jatuh sakit. Bersabarlah sayang, ayah akan pulang.
               


Comments

Popular Posts