Bagaimana pekerja luar pantai (Offshore) yang sakit dirawat ??
Oleh Yaseer Fikri
Assalamualaikum
semua,
MALAYSIA
merupakan antara negara pengeluar hasil petroleum yang dikenali di Asia
Tenggara terutamanya, bahkan di dunia. Kita tentu sekali kenal dengan nama-nama
seperti PETRONAS ( Produk negara), SHELL, EXXON dan banyak lagi
syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di tanah air. Mereka adalah operator pengeluar
minyak yang masih aktif meskipun di dalam kebejatan ekonomi dunia dan penurunan
harga minyak mentah yang secara tidak langsung mempengaruhi turun naik industri
ini.
Jika kita telusuri di sepanjang
pesisir pantai Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak, terdapat beberapa
pelantar minyak yang berada berhampiran dengan daratan dan tidak kurang pula
yang berada betul-betul jauh di tengah lautan. Kesemua pelantar minyak yang
masih beroperasi ini tentu sekali mempunyai pekerja-pekerja yang tinggal di
dalamnya. Adakalanya, mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga untuk tempoh
sebulan dan ada juga yang hanya seminggu dua sebelum balik semula bersama
keluarga tercinta.
![]() |
Remote platform (pelantar) |
Pernahkah kita terfikir,
terutama sekali pembaca yang belum berpeluang untuk bekerja di
pelantar-pelantar minyak, bagaimanakah pekerja-pekerja ini mendapatkan rawatan
perubatan jika mereka jatuh sakit atau lebih parah lagi jika terlibat dengan
kemalangan sewaktu bekerja ?
Kebiasaannya, pelantar-pelantar
minyak mempunyai fasiliti yang mencukupi bagi menampung jumlah anak kapal atau
krew yang bekerja pada satu-satu masa. Fasiliti ini adalah merangkumi kemudahan
perubatan yang bertujuan untuk memberikan rawatan awal, rawatan kecemasan dan
juga kosultasi kesihatan bagi pekerja luar pantai.
Di pelantar, satu bilik akan
disediakan dan dijadikan sebagai bilik rawatan. Sesetengah lokasi menggelarnya
sebagai hospital/klinik dan tidak kurang juga rakan- rakan setugas yang
memanggilnya Sick Bay. Saiz fasiliti ini adalah bergantung kepada jumlah
tampungan pekerja pada satu masa atau dikenali sebagai Personnel On-board serta susun atur pelantar itu sendiri.
Di sepanjang pengalaman saya bertugas sebagai anggota kesihatan di offshore, saiz bilik rawatan di pelantar
kekal adalah lebih kecil berbanding di rig-rig penggerudian. Salah satu
faktornya adalah jumlah maksimum krew on-board
dan juga saiz struktur rig yang lebih besar dan luas.
![]() |
Tender Barge Rig |
Di samping itu, sekurang-kurangnya seorang Medik akan diletakkan bagi
menjaga jumlah krew yang boleh mencecah sehingga 150 orang pada satu-satu masa.
Medik inilah yang akan berperanan sebagai doktor, Jururawat atau Medical Assistant di laut dan memberikan
rawatan kepada krew yang sakit. Medik yang bertugas di Sick Bay akan bekerja daripada seawal jam 6 pagi sehinggalah jam 6
petang. Sesudah waktu bekerja biasa itu, Medik akan bersiap-siaga untuk kes-kes
kecemasan yang melibatkan perubatan. Ini menunjukkan tugas seorang Medik ini
tidak hanya tertakluk kepada jam kerja normal, namun bertugas untuk tempoh 24
jam selama sebulan atau barangkali dua minggu. Selepas tempoh di laut tamat,
beliau akan digantikan oleh back to back
yang juga akan menjalankan tugas yang sama.
Sepertimana syarikat-syarikat pembekal perkihidmatan untuk operasi
penggerudian contohnya, Medik juga dibekalkan oleh syarikat-syarikat tertentu
yang hanya memberikan khidmat perubatan dan kesihatan. Antara syarikat-syarikat
yang ada di Malaysia adalah seperti InternationalSOS (M), Bayam, BOSH dan tidak
kurang juga Medik yang dilantik terus oleh syarikat-syarikat pengendali
operasi. Dalam pada itu, terdapat beberapa Medik yang menjadi freelancer untuk rig atau pelantar
tertentu.
![]() |
Sewaktu Crew Change (Mau Balik) |
Bagi membekalkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang
berkesan,terutama sekali ketika berlakunya kemalangan, peralatan bantuan
perubatan adalah begitu dititikberatkan. Untuk pengetahuan, fasiliti perubatan
di lautan mempunyai sistem dan peralatan yang mencukupi. Mungkin tidak
selengkap hospital-hospital di darat, namun kemudahan dan peralatan yang ada
sudah cukup untuk membantu Medik mengendalikan tugas-tugas di laut
bersendirian. Sesetengah Sick Bay di
laut juga mempunyai katil pesakit yang mencukupi. Mesin Defibrilator juga disediakan bagi keadaan jantung kritikal. Begitu
juga dengan ubat-ubatan kecemasan dan juga bekalan tong Oksigen, sentiasa di
dalam keadaan rapi dan terjaga.
Bagi kes-kes kritikal yang memerlukan rawatan lanjut di hospital, Medik
akan menguruskan prosedur penghantaran pesakit dari luar pantai ke hospital-hospital
berdekatan di darat. Kebiasaannya, proses ini akan dilakukan menggunakan
Helikopter atau dikenali sebagai MEDEVAC (Medical
Evacuation). Medik akan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor yang
berada di darat (Coordinating Doctor)
sebelum keputusan MEDEVAC di buat. Ini kerana, prosedur ini bukan sahaja
berisiko tinggi, bahkan mampu menelan belanja yang besar.
Bagi kes-kes ringan, ia akan dirawat di pelantar dengan kosultasi yang dilakukan
oleh Medik bertugas dan preskripsi ubatan yang dibenarkan oleh polisi sesebuah
syarikat. Walaupun begitu, krew yang tidak sihat adalah teramat kurang jika
dibandingkan dengan klinik atau hospital-hospital di darat. Salah-satu faktor
utama adalah, krew mestilah dipastikan sihat sebelum menaiki pelantar untuk
bekerja. Pendek kata, jika tidak sihat atau mempunyai penyakit berjangkit,
pekerja tidak akan dibenarkan untuk menaiki helikopter atau bot dan bekerja di
pelantar sebelum mereka disahkan sihat/sembuh oleh doktor di hospital yang
dilantik.
![]() |
Salah satu Sick Bay di laut |
![]() |
Sick Bay di laut |
Kesimpulannya, kepada yang berminat untuk bekerja di industri minyak dan
gas ini, janganlah khuatir tentang khidmat kesihatan kerana kesemuanya adalah
dijaga dan yang paling penting percuma. Hanya syarikat yang melantik perlu
membayar perkhidmatan ini. Medik merupakan satu jawatan yang begitu penting di
pelantar. Polisi syarikat pengendali operasi minyak meletakkan syarat supaya
setiap pelantar operasi mestilah mempunyai sekurangnya seorang Medik sebelum
operasi boleh diteruskan. Tanpa Medik, operasi akan digantung sementara.
Perkara ini dilakukan adalah kerana ia berkait rapat dengan undang-undang keselamatan
pekerjaan yang cukup ketat di industri minyak dan gas.
Di entry yang akan datang, saya akan kongsikan bagaiman pekerja luar pantai menyambut Aidilfitri sepertimana yang saya lalui pada tahun 2016 lalu, InshaAllah.
Salam. Sya nak tnya adakah utk menjadi medik di pelantar perlu mengambil kursus niosh seperti pekerja pekerja offshore yg lain? Dan bagaimana utk menjadi pekerja medik di pelantar minyak?
ReplyDelete